Pelaburan dilulus: Berapa akan direalisasikan?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) meminta penjelasan daripada pihak kerajaan berapakah sebenarnya jumlah pelaburan yang diluluskan kerajaan akan direalisasikan mengikut tahun.

Beliau merujuk kepada pengumuman kerajaan sebelum ini bahawa sebanyak RM329.5 bilion pelaburan diluluskan kerajaan pada tahun 2023.

- Advertisement -

“Saya berharap Menteri dapat memberikan pencerahan supaya tidak lagi timbul sebarang keraguan di antara pelaburan yang diluluskan oleh kerajaan khususnya MITI-MIDA dengan apa yang direalisasikan.

“Umpamanya pada tahun 2022, pelaburan yang diluluskan ialah RM264 bilion. Berapa peratus daripada RM264 bilion tu telah direalisasikan dalam bentuk pelaksanaan?” soal beliau.

Jelasnya, memang pada kebiasaannya tidak mungkin kerajaan boleh mencapai pelaksanaan 100 peratus, lebih-lebih lagi bagi pelaburan daripada pelabur-pelabur tempatan.

“Boleh Yang Berhormat Menteri berikan peratusan secara keseluruhan, berapa peratus dalam masa dua tahun ini direalisasikan, berapa peratus dalam tiga tahun?

“Dan yang kita capai tahun 2023 iaitu RM329.5 bilion ini, apakah pandangan menteri? Berapa peratuskah yang akan dilaksanakan?” soalnya semasa sesi Penggulungan Menteri Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri, Liew Chin Tong dalam jawapan terhadap pertanyaan itu hanya memberikan jawapan ringkas.

“Memang saya nak sentuh isu ini. Dalam isu ini dan secara ‘rule of thumb’. Untuk jawapan ringkas ialah biasanya ‘rule of thumb’ 85 peratus akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/3/2024

- Advertisement -