Tentera Amerika ditahan salur maklumat ke China

- Advertisement -

WASHINGTON: Seorang anggota perisikan Tentera Amerika Syarikat (AS) telah ditahan kerana didakwa telah menyalurkan maklumat rahsia dan sensitif tentang pertahanan negara itu kepada pihak China.

Jabatan Keadilan AS  berkata, Korbein Schultz, penganalisis perisikan berpangkat Sarjan telah di tahan di Fort Campbell, pangkalan tentera di sempadan negeri Kentucky-Tennessee, pada Khamis, waktu tempatan. 

- Advertisement -

Menurut sebuah laporan 25 muka surat yang dikeluarkan, Schultz dilaporkan telah menerima sebanyak 14 kali bayaran yang jumlah keseluruhannya mencecah AS$42,000 dan aktiviti beliau itu telah dijalankan secara atas talian di dalam kem Fort Campbell. 

Schultz dikatakan telah melakukan perkara tersebut sejak Jun 2022 dengan menyediakan maklumat perhubungan dengan seorang individu dari Hong Kong, lapor The Guardian.

Maklumat sulit yang diberikan itu mengandungi perancangan AS  sekiranya Taiwan diserang China, selain maklumat berkaitan pesawat pejuang F22 dan helikopter, peralatan hipersonik, sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi (HIMARS) serta kajian tentang kemampuan tentera ASdan China. 

“Schultz mengutamakan kepentingan peribadi berbanding keselamatan rakyat Amerika,” kata pembantu peguam Amerika Syarikat, Matthew G Olsen.

“Penangkapan ini menunjukkan bahawa pengkhianatan seperti itu tidak membuahkan hasil. Jabatan Keadilan komited untuk mengenal pasti dan mempertanggungjawabkan mereka yang melanggar sumpah mereka untuk melindungi rahsia negara kita,” tambahnya.

Laporan itu menyebut ketika Schultz ditawarkan bayaran yang lebih sekiranya beliau memberikan maklumat tambahan lain khususnya berkenaan Laut Filipina, dia menjawab “Saya harap begitu! Saya perlukan kereta BMW saya semula.”

Schultz merupakan anggota tentera keempat yang ditahan sejak lapan bulan lepas kerana memberikan maklumat sulit kepada pihak asing. Beliau dijangka akan mula dihadapkan ke mahkamah bermula esok. – HARAKAHDAILY 8/3/2024

- Advertisement -