Rancang kewangan menuju Ramadan, sesi persekolahan

- Advertisement -

KUANTAN: Ramadan yang bakal menjelang dan pembukaan sesi persekolahan 2024 memerlukan orang ramai agar bijak merancang, kata Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor.

- Advertisement -

“Minggu depan dah mula sesi persekolahan dan mula puasa, selepas itu raya. Jadi kena belanja ikut keperluan.

“Kami ucapkan selamat berpuasa kepada semua. Semoga diberikan kesihatan yang baik, dimudahkan rezeki dan dimudahkan urusan,” ujarnya sewaktu menyantuni peniaga dan mengedarkan nasi lemak di Pasar Besar Kuantan, di sini, hari ini.

Menurut beliau, kebijaksanaan merancang kewangan penting terutamanya dalam situasi terkini yang memerlukan komitmen kewangan dalam pelbagai perkara.

“Pagi ini kita edar nasi lemak sempena sambut Ramadan tak lama lagi,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, sambil bertanya khabar, beliau turut mengambil kesempatan mendengar aduan yang peniaga ingin sampaikan secara langsung.

Kira-kira 300 pek nasi lemak diedarkan kepada para peniaga yang turut disertai Ahli Dewan Negeri Tanjung Lumpur, Ustaz Rosli Abdul Jabar. (Foto atas)

Seorang peniaga, Zaimah mengucapkan terima kasih atas kesudian Ahli Parlimen Kuantan itu bertemu dengan para peniaga di situ.

“Saya dah 19 tahun berniaga kuih muih di sini. Terima kasih kerana turun bertanya khabar kami peniaga di pasar ni,” ujarnya.

Sukri yang menjual ikan segar juga mengucapkan terima kasih atas edaran nasi lemak tanda ingatan kepada para peniaga. – HARAKAHDAILY 8/3/2024

- Advertisement -