‘Letak jawatan, jika masih punya harga diri’ 

Abdul Basith (kanan) menyifatkan tindakan Abdul Rashid (kiri) menyatakan sokongan terhadap Menteri Besar Selangor tetapi dalam masa yang sama masih bersama Perikatan Nasional merupakan suatu sikap orang pengecut.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Jika YB (Yang Berhormat) Abdul Rashid (Asari) masih mempunyai harga diri, jalan terbaik baginya adalah meletakkan jawatan secara terhormat sebagai ADN Selat Klang.

“Jangan kecewakan harapan rakyat Selat Klang yang memberikan kepercayaan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk membawa aspirasi mereka.” 

- Advertisement -

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Selangor, Abdul Basith Abdul Halim berkata demikian, ketika mengkritik tindakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Selat Klang, Abdul Rashid Asari yang sebelum ini menyatakan sokongan secara terang-terangan kepada kerajaan perpaduan pimpinan Menteri Besar Selangor.

“YB Abdul Rashid bukan sahaja mengkhianati Perikatan Nasional, bahkan turut menggambarkan Perikatan Nasional hanya berdiam diri apabila ada pihak membuat tohmahan terhadap Raja-Raja Melayu. Kenyataan tidak bertanggungjawab ini perlu diperbetulkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dewan Pemuda PAS Selangor turut menyatakan kekecewaan dengan kenyataan Abdul Rashid yang tidak segan silu mengheret pihak istana sebagai alasan beliau kenapa membuat keputusan tersebut. 

“Institusi istana perlu dihormati dan tidak sepatutnya menjadi dalil untuk membenarkan tindakan pengkhianatan ini.

“Alasan yang diberikan sama sebagaimana skrip alasan enam  pengkhianat Perikatan Nasional sebelum ini iaitu mahu memastikan kesejahteraan rakyat. 

“Adakah tugas sebagai penyemak imbang kerajaan dianggap tidak penting untuk kesejahteraan rakyat?” kata Abdul Basith.

Beliau seterusnya menyatakan, tindakan Abdul Rashid itu menimbulkan persoalan tentang apakah yang diinginkan oleh beliau sehingga sanggup berpaling tadah? 

“Soalnya, apa yang ADN Selat Klang (Abdul Rashid) mahu? Jika mahu peruntukan, tidakkah beliau berpuas hati dengan peruntukan kepada setiap ADN pembangkang yang dikhabarkan bakal mendapat RM400,000 bagi setiap kawasan?

“Sikap memberi sokongan kepada Menteri Besar (Selangor) tetapi dalam masa yang sama masih bersama Perikatan Nasional merupakan sifat orang pengecut. 

“Sikap sebegini umpama gergaji dua mata yang gemar mengambil keuntungan daripada dua belah pihak,” tegasnya.

Beliau juga menimbulkan persoalan adakah tindakan Abdul Rashid  memberi sokongan kepada Menteri Besar  Selangor tidak lagi diberi kepercayaan untuk terus menerajui parti Bersatu di Selangor? 

“Jika ya, tindakan ini sesuatu yang memalukan dan kebudak-budakan.

“YB Abdul Rashid seharusnya sedar bahawa majoriti undi yang besar sebanyak 8,325 pada PRN ke-15 lalu yang diberikan rakyat adalah kerana rata-rata rakyat mahukan perubahan dan yakin dengan perjuangan Perikatan Nasional,” hujahnya lagi.

Tambah Abdul Basith, jika dibuat perbandingan, Abdul Rashid hanya mendapat majoriti 500 undi ketika bertanding atas tiket PKR sewaktu PRU-14 pada tahun 2018 yang lalu. 

“Jelas, peningkatan undi yang sangat drastik itu membuktikan tindakan YB Abdul Rashid ini membelakangkan pengundi.

“Jika YB Abdul Rashid masih mempunyai harga diri, jalan terbaik baginya adalah meletakkan jawatan secara terhormat sebagai ADN Selat Klang. Jangan kecewakan harapan rakyat Selat Klang yang memberikan kepercayaan kepada Perikatan Nasional untuk membawa aspirasi mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/3/2024

- Advertisement -