Program bantu masyarakat ketika harga barang naik

- Advertisement -

HULU LANGAT: Hampir 1,000 orang ramai menyambut baik program ‘Free Market – Kembali ke Sekolah’ yang telah dirintis oleh PAS Cawangan Bukit Mahkota pada 2014, dan telah menjadi mercu tanda kebajikan masyarakat ketika kenaikan harga barang menjelang sesi persekolahan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Nushi Mahfodz, berkata program tersebut masih mengekalkan konsep ‘beri atau ambil sahaja; senyum, minta baik-baik dan ucapkan terima kasih’.

- Advertisement -

“Walaupun peruntukan penduduk Semenyih disekat dan tidak diturunkan kepada saya, namun Allah SWT hadirkan golongan dermawan yang bermurah hati untuk menyumbangkan pelbagai barangan.

“Tanpa kehadiran penerima dan pengunjung, kejayaan program ini tidak akan lengkap,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kos sara hidup melonjak akibat pemansuhan subsidi menyeluruh, pelarasan tarif air, dan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ketika keadaan mata wang negara dalam keadaan lemah.

Sehubungan itu, beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kepada pihak yang menjayakan program khususnya ahli jawatankuasa yang bertungkus lumus sejak bulan lalu dan seluruh petugas PAS cawangan yang terlibat.

“Usaha keras dan komitmen kalian amatlah dihargai. Tahniah diucapkan kepada semua yang menyumbang bakti dalam memastikan kelancaran program ini.

“Terima kasih sekali lagi kepada semua yang terlibat, sama-sama kita meneruskan usaha kebaikan demi manfaat dan perpaduan penduduk Semenyih.

“Semoga Allah SWT membalas segala usaha kita dengan keberkatan yang berlipat ganda,” ujar Nushi mengenai program tahun ini tersebut, anjuran Pusat Khidmat DUN Semenyih bersama-sama Lajnah Kebajikan PAS Hulu Langat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Kebajikan Muslim Putra Mahkota.

Justeru, beliau berharap agar penganjuran program dapat meringankan beban rakyat di Semenyih.

“Program ini akan diperluaskan pelaksanaannya di beberapa cawangan lain seperti Putra Mahkota, Bandar Seri Putra dan Kampung Kuala Pajam pada tahun seterusnya,” katanya.

- Advertisement -