Pemandu pelancong ejen promosi keunikan Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Persatuan Pemandu Pelancong Berlesen Negeri Kelantan (3PK) diseru mempertingkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang pelancongan sebagai persediaan berhadapan dengan pelancong ke negeri itu.

Pengerusinya, Wan Saiful Azwan Wan Muhammad berkata, ianya penting bagi memberi maklumat yang tepat pada pelancong agar mereka mengunjungi lagi negeri itu pada masa hadapan.

- Advertisement -

Ketika ditemui beliau berkata, pihaknya juga akan mencari produk baru khasnya yang viral di negeri itu agar pelancong lebih berminat.

“Ketika ini kita bukan hanya memperkenalkan tempat-tempat menarik, tempat yang tular di media sosial, sebaliknya kemampuan pemandu pelancong memainkan peranan ketika bersama mereka menjadi nilai tambah untuk pelancong berkunjung lagi,” katanya.

Jelas beliau, bersesuaian dengan Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2024, 3PK telah perkuatkan mental dan fizikal untuk memberi perkhidmatan terbaik pada kerajaan negeri bagi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini.

Beliau memberitahu, dianggarkan seramai 40 pemandu pelancong di Kelantan, iaitu pemandu pelancong persiaran atau Bandar dan pemandu pelancongan alam semula jadi.

“Kedua-dua ini mempunyai kategori, memiliki etika pakaian dan tugas-tugas khusus bersesuaian dengan lokasi wisata yang dikunjungi pelancong,” ujarnya.

Tambah Saipul lagi, jumlah berkenaan bagaimanapun tidak termasuk petugas malim gunung yang ditugaskan untuk membawa pelancong yang berminat pengembaraan di hutan, bukit dan sebagainya.

“Dari semasa ke semasa kita akan perbaiki, menambah ilmu pengetahuan pemandu pelancong untuk memberi khidmat yang terbaik buat mereka agar berpuas hati.

“Alhamdulillah kami bersyukur apabila pelancong yang ke Kelantan sebelum ini memberi pandangan positif pada kita, apabila penguatkuasaan pemandu pelancong mesti diadakan, mereka berpuas hati,” tambahnya lagi.

Sambungnya, jika sebelum ini pelancong datang hanya untuk membeli-belah atau sekadar makan minum, namun sekarang mereka telah pulang dengan membawa ilmu yang baru berkenaan Kelantan.

Beliau tidak menafikan, 3PK turut membantu para ahli yang menghadapi masalah khususnya yang baru seperti berkaitan maklumat berkenaan sesatu tempat dikunjungi.

Tambahnya, pada masa sama persatuan turut membantu ahli dengan mencadangkan membawa ke destinasi menarik yang wajar dikunjungi bagi menerbitkan rasa puas hati pelancong. – HARAKAHDAILY 20/2/2024

- Advertisement -