Maritim Kelantan tahan 100 orang PATI 

Kumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan di Kelantan. (FOTO: Maritim Malaysia Negeri Kelantan )
- Advertisement -

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan menahan kira-kira 100 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui satu operasi bersepadu yang dijalankan.

Operasi bersepadu itu turut dilakukan bersama Jabatan Imigresen Negeri Kelantan (JIM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Kelantan (AADK) dalam usaha membasmi kehadiran pekerja warganegara asing tanpa izin sekaligus mengekang penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti maritim setempat.

- Advertisement -

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kapten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, operasi bersepadu dilaksanakan berdasarkan hasil maklumat Unit Risik Maritim Negeri Kelantan mendapati terdapat penambahan jumlah yang mencurigakan di kalangan nelayan-nelayan warganegara asing yang bekerja di bot zon C dan C2 di sekitar kawasan Semerak dan Tok Bali.

Menurutnya, dalam serbuan yang dijalankan kira-kira jam 5 pagi itu pihaknya berjaya menahan seramai 100 orang PATI dari Negara Vietnam, Thailand, Myanmar, Kemboja serta Laos yang telah meyalahi undang-undang tanpa dokumen atau permit sah.

Tambah beliau, 11 orang lagi nelayan terdiri dari warganegara Thailand dan Kemboja turut ditahan dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki menyalahgunakan dadah.

“Operasi bersepadu yang melibatkan seramai 78 pegawai dan anggota penguatkuasa itu tertumpu kepada penguatkuasaan undang-undang berkaitan Akta APMM2004, Akta Imigresen 1959/63, Akta Perikanan 1985 dan Akta Dadah Berbahaya 1952 di kawasan jeti-jeti utama bot-bot nelayan jenis pukat tunda dan pukat jerut berlabuh. 

“Antara bot nelayan yang diperiksa melibatkan bot zon C dan C2 yang menggaji pekerja warganegara asing khususnya dari Vietnam, Thailand dan Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan dan diiringi ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Negeri Kelantan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

“Maritim Negeri Kelantan, mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Imigresen Negeri Kelantan dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Kelantan di atas kerjasama dan sokongan yang diberikan dalam melaksanakan Operasi Bersepadu ini dalam membanteras pelanggaran undang-undang dan aktiviti jenayah dalam kalangan komuniti maritim di negeri Kelantan. 

“Diharapkan operasi seperti ini lebih banyak dapat dilaksanakan pada masa hadapan,” katanya.  HARAKAHDAILY  1/2/2024

- Advertisement -