Kuala Lumpur bandar ke-18 terbaik di dunia

Kuala Lumpur tersenarai antara 37 buah bandar terbaik di dunia.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bandar raya Kuala Lumpur telah mengalahkan kota metropolitan yang lebih popular seperti Las Vegas, Dubai, Los Angeles, Abu Dhabi, Kaherah dan Hong Kong apabila dinobatkan pada nombor 18 dalam senarai 37 bandar terbaik di dunia.

KL meraih penarafan empat bintang dalam kategori makanan dan minuman, kemudahan, nilai untuk wang, dan beli-belah (shopping).

Dalam tinjauan oleh British Ranking itu, KL mendahului bandar popular lain termasuk San Francisco, Auckland, Miami, Montreal, Buenos Aires, Marakkesh dan Toronto.

- Advertisement -

Las Vegas, destinasi pelancongan popular yang terkenal dengan kasino dan hiburan di Amerika Syarikat, menduduki tempat terbawah (ke-37) dalam tinjauan yang diterbitkan oleh Daily Mail.

Sydney meraih tempat pertama dengan memperoleh markah sebanyak 88 peratus dalam senarai tersebut dengan meraih kepujian susulan pemandangannya yang mengagumkan, diikuti Cape Town (85%) dan Chicago (84%), Kyoto (84%) dan Singapura (84%) bagi kedudukan ‘Top 5’ dalam senarai tersebut; sementara Malaysia di tempat ke-18 meraih markah sebanyak 75%.

Selain Kyoto dan Singapura, bandar raya  Asia lain yang meraih tempat lebih baik daripada Kuala Lumpur ialah Tokyo mendapat tempat kelapan (82%), Bangkok di tempat ke-12 (80%), manakala Ho Chi Minh City hanya satu tempat di atas Kuala Lumpur di tempat ke-17 (75%).

Dua bandar Asia dalam senarai yang berakhir di bawah Kuala Lumpur ialah Hong Kong di tempat ke-19, New Delhi dan Hanoi masing-masing di tempat ke-22 dan ke-23.

Tinjauan itu berdasarkan maklum balas daripada 1,800 responden yang memberikan jawapan berdasarkan pengalaman mereka sendiri mengembara di luar Eropah sejak tiga tahun lalu.  HARAKAHDAILY  30/1/2024

- Advertisement -