Lintas langsung Himpunan Selamatkan Rakyat, Istana Negara

Istana Negara Kuala Lumpur
- Advertisement -

LINTAS Langsung program Himpunan Selamatkan Rakyat di depan Pintu 2 Istana Negara, Jalan Changkat Semantan, Kuala Lumpur pada hari ini, Selasa, 23 November 2024.

- Advertisement -

Himpunan yang dianjurkan sekretariat Pembela Tanah Air (PETA), mewakili tiga wakil gabungan badan bukan kerajaan (NGO) itu dihadiri kira-kira 4,000 orang yang mula berhimpun seawal 8 pagi lagi. (Foto-foto HarakahDaily hasil bidikan jurugambar, J. Kemala dan wartawam, Ikmal Emir)

8:20 pagi: Didapati banyak kenderaan yang mula masuk di luar kawasan Istana Negara. Namun, keadaan di sini masih lagi tenang dan terdapat sebahagian media telah hadir bagi meninjau suasana di kawasan sekitar di sini.

8:42 pagi: Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan sesi taklimat di depan Pintu 2 Istana Negara.

8:50 pagi: Tiga buah bas dari Terengganu tiba bagi menyertai perhimpunan ini.

8:59 pagi: Orang ramai diminta untuk keluar dari simpang Lorong Dungun kawasan pekarangan Istana Negara di Pintu 2 ke kawasan yang sedikit lebih jauh. Polis telah mula menutup pintu masuk ke kawasan tersebut.

9:02 pagi: Orang ramai telah mula berkumpul di tepi kanan Jalan Changkat Semantan yang berhampiran dengan kawasan pekarangan Pintu 2 Istana Negara.

9:30 pagi: Semakin banyak kenderaan telah mula membuat pusingan U di Jalan Changkat Semantan memandangkan lokasi tersebut telah ditutup sebagai persediaan untuk memulakan Program Gerakan Rakyat Menyerahkan Memorandum Rakyat.

9:32 pagi: Sementara itu, semakin banyak pihak media hadir dan berkumpul di bahagian kanan Jalan Changkat Semantan, Istana Negara.

10:08 pagi: Semakin bertambah bilangan orang ramai yang telah berkumpul di sebelah kiri dan kanan Jalan Changkat Semantan yang mana keadaan di sini masih lagi terkawal seperti biasa.

10:27 pagi: Orang ramai masih lagi menunggu di kawasan yang sama yang mana polis masih dalam keadaan berjaga-jaga. Keadaan masih lagi terkawal. Seketika kemudian, mereka mula menyanyikan lagu Negaraku dengan penuh bersemangat sambil melaungkan takbir.

10:35 pagi: Perarakan telah bermula di kawasan Jalan Changkat Semantan turut dihadiri Setiausaha PEMBELA, Mohd Aswanizam Alias dan Presiden PERKASA, Syed Hassan Syed Ali.

10:40 pagi: Kedua-dua wakil NGO PEMBELA dan PERKASA, masing-masing Mohd Aswanizam dan Syed Hassan telah mula masuk ke kawasan Pintu 2 Istana Negara berhampiran dengan simpang kiri Lorong Dungun bagi menghadap Yang Di-Pertuan Agong. Sementara, orang ramai mula berkumpul dan menunggu di kawasan Jalan Changkat Semantan sebagai tanda sokongan.

10:48 pagi: Sementara itu, orang ramai berterusan melaungkan takbir sambil mengangkat sepanduk yang membawa mesej ‘Rakyat Bersama Hemat Yang Di-Pertuan Agong’.

10:52 pagi: Mohd Aswanizam dan Syed Hassan telah pun kembali semula ke kawasan Jalan Changkat Semantan yang mana ramai orang menanti kehadirannya.

10:57 pagi: Khalayak yang berkumpul terkejut dan diberi tambahan suntikan semangat dengan kehadiran mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turun padang di kawasan Jalan Changkat Semantan sebagai tanda sokongan kepada perhimpunan ini.

10:59 pagi: Bacaan memorandum telah dimulakan, yang mana kandungan memorandum tersebut ada menyatakan bahawa ramai rakyat tempatan meminta Yang Di-Pertuan Agong untuk membela keadaan rakyat biasa.

Turut digariskan dalam memorandum ialah mengenai tekanan ekonomi yang dilalui oleh rakyat sehingga menyebabkan ada kes individu yang bunuh anak, selain ibu bapa sendiri.

Antara sedutan kandungan memorandum itu berbunyi, “Kesengsaraan tidak diambil tindakan sepatutnya oleh kerajaan.

“Dunia mentertawakan Malaysia kerana tidak mampu menyelesaikan pertelingkahan yang ada. Umat Islam banyak dimurtadkan, kuasa Melayu mula dijadikan satu per satu. Ini juga memberi kesan kepada institusi Diraja.

11:15 pagi: Setelah selesai bacaan memorandum tersebut selesai, Tun M mula melangkah pulang sambil diiringi barisan pegawainya dan juga orang ramai.

Semua hadir teruja dengan kehadiran beliau atas kesudian turun padang bersama rakyat jelata memberikan sokongan terhadap nasib mereka.

11:22 pagi: Bacaan doa telah diadakan dengan berdoa kepada Allah SWT agar nasib rakyat jelata di bumi Malaysia ini terbela sebelum orang ramai yang berkumpul mula bersurai.

11:31 pagi: Perhimpunan orang ramai telah pun bersurai dalam keadaan teratur dan sistematik. – HARAKAHDAILY  23/1/2024

- Advertisement -