Dua kementerian digesa segerakan projek tebatan banjir

Mohd Zuhdi Marsuki
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam digesa agar menyegerakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang telah tergendala hampir setahun.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (LASPI) PAS, Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata, hal demikian dapat membantu negeri-negeri yang masih bergelut dengan bekalan air dan menggubal dasar menyeluruh dalam menghadapi kesan perubahan iklim.

Menurutnya, kedua-dua kementerian itu telah diwujudkan secara berasingan semula selepas Kerajaan Madani sebelum ini menggabungkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Kementerian  Tenaga dan Sumber Air (KETSA) menjadi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

- Advertisement -

“Pada 6 Dis lalu, pihak kami telah menyuarakan bahawa tindakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mewujudkan NRECC selepas  menggabungkan KASA dan KETSA sebagai satu langkah yang mundur ke belakang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Gabungan KASA dan KETSA  menjadi NRECC sebelum ini, ujar beliau, adalah satu tindakan populis yang boleh merencatkan agenda untuk memastikan keterjaminan air, kelestarian sumber tenaga, pembangunan ekonomi hijau dan pengurusan kesan perubahan iklim.

“Setelah setahun, akhirnya apa yang disuarakan sebelum ini telah diperakui, apabila kerajaan pimpinan Perdana Menteri Kesepuluh (Anwar), memecahkan semula NRECC kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam,” hujahnya.

Sehubungan itu beliau menyatakan, LASPI PAS mengalu-alukan pemisahan dua kementerian tersebut, meskipun sebelum ini pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (PH) menuduh pemisahan dua kementerian seumpama ini di zaman Kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai membazir. – HARAKAHDAILY 21/12/2023

- Advertisement -