Persempadanan kawasan pilihan raya: ‘Kad terakhir’ PH-BN…

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persempadanan semula kawasan Parlimen untuk pilihan raya merupakan kad terakhir kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) untuk terus menang dalam pilihanraya umum.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kerajaan PH-BN sedar bahawa  dengan komposisi kedudukan kerusi seperti sekarang ini, sangat jelas dan terang kerusi yang akan dimenangi oleh gabungan kedua-dua parti  ini akan lebih sedikit berbanding PERIKATAN NASIONAL (PN). 

- Advertisement -

“Ia sudah terbukti dengan jelas di dalam pilihan raya negeri di enam buah negeri yang lepas, sepatutnya jika gabungan PH-BN diterima dengan baik oleh rakyat, mereka boleh menang dengan lebih selesa. 

“Namun ia tidak berlaku demikian, gabungan ini semakin gagal untuk  menambahkan kerusi berbanding pilihanraya sebelumnya sekalipun Pakatan Harapan dan Barisan Nasional telah bergabung,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut beliau, senario berkenaan jika dibiarkan dalam tempoh empat tahun akan datang, akan menjadi lebih teruk buat gabungan PH-0BN. 

Justeru, ujar Ahmad Fadhli, persempadanan semula dengan memberikan lebih kerusi kepada mereka untuk menang dengan peluang yang lebih tinggi akan dilaksanakan.

“Saya ingin berpesan kepada rakan-rakan Ahli Parlimen dari pihak kerajaan khususnya UMNO, jika masih ada sekelumit rasa sayang kepada perjuangan memartabatkan agama dan bangsa, janganlah dijayakan agenda ini,” katanya lagi. 

Tambah beliau, masih ada ruang dan peluang untuk menyatakan bantahan kerana persempadanan dengan tujuan menambahkan kerusi ini akan memerlukan suara dua pertiga Ahli Parlimen.

“Namun, jika kuasa dalam jangka masa pendek jadi keutamaan, silakanlah menjadi alas duduk kepada Pakatan Harapan. Sejarah akan mengenang ‘sumbangan’ ini untuk dipelajari oleh anak-anak kita suatu hari nanti,” katanya.  HARAKAHDAILY 18/12/2023

- Advertisement -