Isu anjing liar: Kerajaan N9 digesa bertindak

Kamarol Ridzuan Mohd Zain
- Advertisement -

SEREMBAN: Kamarol Ridzuan Mohd Zain (PN-Paroi) menggesa agar Kerajaan Negeri Sembilan mengambil tindakan jangka panjang yang berkesan untuk mengatasi masalah anjing liar yang mengganggu penduduk setempat.

Beliau mengambil contoh bagaimana usaha pihak kerajaan Negeri Melaka yang melaksanakan polisi ‘tiada anjing liar’ yang dilihat berkesan dalam mengatasi isu itu di negeri tersebut.

- Advertisement -

Kamarol turut membangkitkan tentang aduan itu yang telah berulang-ulang kali dimasukkan ke dalam Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) namun tidak nampak sebarang perubahan berlaku.

“Aduan isu ini berulang-ulang, macam tak ada penghujung. Isu anjing (liar) ini sebenarnya melibatkan (juga)  isu kebersihan, dan isu keselamatan penduduk digigit dan juga menakutkan penduduk dikejar apabila beriadah. 

“Apa tindakan jangka panjang? Mungkin kita nak tengok macam Bandar Raya Melaka tak ada anjing semua tu. Supaya bandar raya kita ini bersih.

“Dan juga agar isu ni tidak berulang-ulang dan dan menyukarkan kami datang ke Pusat Khidmat aduan-aduan yang berulang-ulang,” tegasnya.

Beliau berhujah demikian ketika mengutarakan soalan tambahan dalam ‘Sesi Pertanyaan Lisan’, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan  di sini, hari ini.

Kamarol dalam soalan asalnya meminta kerajaan negeri untuk menyatakan apakah inisiatif pihak kerajaan negeri berkaitan isu anjing liar yang terlalu banyak di Taman Tuanku Jaafar Fasa 3, Taman Sena Parc, Taman Senawang Perdana, Taman Pinggiran Senawang dan Taman Satria.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan), J. Arul Kumar dalam jawapannya berkata, beberapa inisiatif telah diambil oleh pihak Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Antaranya, menurut beliau ialah melalui aktiviti pemandulan anjing-anjing liar yang ditangkap dengan bantuan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

“Selain daripada tangkapan dilakukan dan dengan kerjasama daripada pihak NGO di kawasan Seremban dan juga di beberapa PBT lain pada bulan lepas pihak MMK, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga telah meluluskan salah satu cara untuk kita mengawal bilangan anjing liar yang banyak ini adalah melalui pemandulan. 

“Setiap anjing yang ditangkap, bukan sahaja sepertimana yang saya nyatakan kepada pemilik anjing yang berlesen perlu dimandulkan dengan pemberian insentif, tetapi anjing-anjing liar yang ditangkap oleh NGO juga perlu dimandulkan.

“(Proses) Pengawalan itu akan ambil masa, namun kerajaan negeri akan mencuba dengan sebaik mungkin untuk memastikan dalam tempoh masa panjang isu ini dapat diselesaikan dengan cara yang lebih baik,” katanya.  HARAKAHDAILY 5/12/2023

- Advertisement -