ICC haramkan transgender sertai kriket wanita antarabangsa

Danielle McGahey merupakan pemain transgender lelaki pertama disenaraikan dalam skuad wanita antarabangsa pada awal 2023. (FOTO: BBC Sport)
- Advertisement -

DUBAI, Emiriyah Arab Bersatu: Majlis Kriket Antarabangsa (ICC)  telah mengharamkan pemain transgender yang dilahirkan sebagai lelaki daripada menyertai kejohanan kriket wanita antarabangsa.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini, Selasa (21 Nov), badan induk kriket itu membuat kesimpulan bahawa mereka telah membuat keputusan itu berikutan proses perundingan selama sembilan bulan untuk melindungi keselamatan pemain wanita.

- Advertisement -

Kenyataan itu berbunyi: “Dasar baharu itu adalah berdasarkan prinsip berikut (mengikut keutamaan), perlindungan integriti permainan wanita, keselamatan, keadilan dan keterangkuman, dan ini bermakna mana-mana peserta ‘Lelaki ke Wanita’ (transgender)yang telah melalui sebarang bentu  akil baligh lelaki tidak akan layak untuk mengambil bahagian dalam permainan wanita antarabangsa tanpa mengira sebarang pembedahan atau rawatan penukaran jantina yang mungkin telah mereka jalankan.”

Kajian semula itu, yang diketuai oleh Jawatankuasa Penasihat Perubatan ICC yang dipengerusikan oleh Dr Peter Harcourt, hanya berkaitan dengan kelayakan jantina untuk kriket wanita antarabangsa, manakala kelayakan jantina di peringkat domestik adalah perkara yang tertakluk  bagi setiap Lembaga Ahli individu, yang mungkin dipengaruhi oleh undang-undang tempatan, lapor Daily Mail.

Kenyataan itu juga berkata: “Peraturan akan dikaji semula dalam masa dua tahun.”

Sementara Ketua Eksekutif ICC, Geoff Allardice berkata bahawa perubahan kepada peraturan kelayakan jantina terhasil daripada proses perundingan yang meluas dan diasaskan dalam sains dan sejajar dengan prinsip teras yang dibangunkan semasa semakan.

“Keterangkuman adalah sangat penting bagi kami sebagai sukan, tetapi keutamaan kami adalah untuk melindungi integriti permainan wanita antarabangsa dan keselamatan pemain,” katanya.

Peraturan kelayakan pemain ICC sebelum ini yang dikeluarkan pada 2018 sebelum dipinda tiga tahun kemudian menyatakan bahawa wanita transgender yang ingin bersaing dalam kriket wanita antarabangsa perlu menunjukkan ‘kepekatan testosteron dalam serumnya telah kurang daripada 5 nmol/L1 secara berterusan untuk tempoh sekurang-kurangnya 12 bulan, dan dia bersedia, sanggup dan mampu untuk terus mengekalkannya di bawah tahap itu selagi dia terus bersaing.’

Mereka juga dikehendaki ‘memberikan pengisytiharan bertulis dan ditandatangani, dalam bentuk yang memuaskan kepada pegawai perubatan yang ditetapkan, bahawa identiti jantinanya adalah perempuan.’

Terdahulu, pemain kriket Kanada, Danielle McGahey menjadi transgender pertama yang disenaraikan dalam skuad wanita antarabangsa pada awal tahun ini.

McGahey, yang dilahirkan sebagai lelaki di Australia sebelum berhijrah ke Kanada pada 2020, beralih secara sosial kepada seorang wanita pada November 2020 dan mula melakukan peralihan perubatan pada Mei 2021.

Pemain berusia 29 tahun itu membuat penampilan sulungnya dalam aksi antarabangsa T20 menentang Brazil pada Sept 2023.

Bagaimanapun, di bawah peraturan baharu ICC, dia tidak lagi dapat bersaing dalam kriket wanita antarabangsa.

Kriket menyertai olahraga, berbasikal, renang dan kedua-dua kod ragbi dalam melarang wanita transgender daripada mengambil bahagian dalam pertandingan wanita elit di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, kenyataan ICC mengesahkan lembaga pengarah domestik akan diberi kata putus mengenai kelayakan pemain untuk pertandingan di tempat mereka sendiri.  HARAKAHDAILY 21/11/2023

- Advertisement -