Israel bunuh tiga petugas media Lubnan

Koresponden Farah Omar dan jurukamera, Rabih Me’mari yang bertugas dengan stesen penyiaran Al Mayadeen TV terbunuh dalam serangan udara tentera Israel di sempadan Lubnan di utara Israel pada hari ini, 21 Nov 2023. (FOTO: X/Al Mayadeen English)
- Advertisement -

TAYR HARFA: Tiga petugas media terkorban di selatan Lubnan akibat serangan bom tentera udara Israel ketika permusuhan antara kedua-dua Israel-Lubnan berkembang di sepanjang sempadan di utara Israel.

Agensi Berita Nasional Lubnan melaporkan pada hari ini, Selasa (21 Nov)  bahawa ‘pengeboman musuh’ membunuh tiga orang di kawasan Tayr Harfa, kira-kira 1.6 kilometer  dari sempadan negara itu di utara Israel.

- Advertisement -

Saluran penyiaran Lubnan, Al Mayadeen TV berkata dua kakitangannya adalah antara mangsa. Orang ketiga yang terbunuh dikatakan sebagai wartawan tempatan dan ‘penyumbang’ kepada saluran itu.

“Koresponden Farah Omar dan jurukamera, Rabih Me’mari terbunuh oleh serangan Israel,” ujar Al Mayadeen dalam satu kenyataan.

“Ia adalah serangan langsung, yang  bukan secara kebetulan,” tegas Pengarah Al Mayadeen, Ghassan bin Jiddo, sambil menyatakan ia berlaku selepas keputusan kerajaan Israel pada bulan ini untuk menyekat akses ke laman web saluran itu.

“Satu lagi serangan telah menyasarkan wartawan di selatan Lubnan, membunuh seorang wartawan dan jurukamera yang bekerja untuk saluran pan-Arab Al Mayadeen … Orang ketiga, yang bersama mereka, turut terbunuh,” Zeina Khodr dari Al Jazeera pula melaporkan dari selatan Lubnan.

“Perasaan di sini ialah tentera Israel mahu menutup mulut media dan menghukum wartawan,” katanya.

“Menteri penerangan Lubnan telah meminta pihak tentera untuk membuka siasatan terhadap (serangan pada hari Selasa),” ujar Khodr, sambil menambah bahawa ini adalah serangan  kali ketiga terhadap wartawan di selatan Lubnan sejak 13 Okt lalu.

Terdahulu, Israel telah menyenaraihitamkan TV Al Mayadeen pada minggu lalu, menuduhnya sebagai ‘usaha masa perang untuk membahayakan kepentingan keselamatan (Israel) dan untuk mencapai matlamat musuh’.

Menteri Perhubungan Israel, Shlomo Karhi berkata pada 13 Okt lalu, beliau telah mula melakukan usaha untuk menyekat laman web dan pengaturcaraan Al Mayadeen serta menutup pejabat tempatannya.

Kumpulan kebebasan akhbar, Jawatankuasa Melindungi Wartawan (ICJ) dalam kenyataannya pula berkata, pembunuhan terbaharu tiga wartawan Lubnan menambah kepada angka terkumpul sekurang-kurangnya 50 wartawan dan pekerja media yang telah terkorban di tengah-tengah perang 46 hari Israel-Hamas  di Gaza, yang mana sebilangan besar wartawan yang terbunuh adalah warga Palestin di Semenanjung Gaza yang terkepung.  HARAKAHDAILY 21/11/2023

- Advertisement -