Jika tunggang agama tidak boleh, tonggeng juga tidak sayugia

- Advertisement -

TUNGGANG mengikut kamus dewan adalah seerti juga dengan tonggeng. Cuma difahami tunggang juga adalah perbuatan menunggang atau mengenderai atau memandu mengikut konteks khusus ayat. Jarang sekali diertikan dengan tonggeng atau terbalik.

Saya mengikuti jawapan Perdana Menteri di Parlimen atas pertanyaan Ahli Parlimen Gua Musang pendirian kerajaan berkaitan isu saman Nik Elin dan anaknya terhadap 18 Enakmen Syariah (1) 2019 Kerajaan Negeri Kelantan yang diluluskan melalui Sidang DUN.

Saya petik perkataan ‘tunggang agama’ yang di’highlight’ oleh Sinar Harian dalam ucapan Perdana Menteri terhadap isu ini. Sama ada beliau telah secara sedar memberikan komen sebegitu atau sedikit berpolitik dalam isu ini dengan mengalihkan jawapan menyalahkan orang lain seolah rakyat tidak faham isu utama.

Hanyasanya beliau, Nik Elin dan Kerajaan Madani sahaja yang faham soal ini mengikut konteks undang-undang. Sedang mereka yang melawan isu ini seolah tidak faham, berdalih dan cuba menunggang agama.

Jika setakat itu sahaja aliran fikiran Perdana Menteri dalam isu besar melibatkan kepentingan orang Islam, dengan tohmahan lawan pihak yang berhasrat membatalkan Enakmen Syariah Negeri Kelantan sebagai tunggang agama, saya berpandangan bahasa Perdana Menteri ini adalah seertinya tonggeng agama dan tidak juga sayugia dilakukan.

Berhentilah dari menonggeng agama, kerana Syariat Islam manfaatnya untuk ummah jua.

Salam hormat.

MOHAMAD KAMAL MOHAMED
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan
07 Jamadil Awal 1445H / 21 November 2023 – HARAKAHDAILY 21/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -