KUALA LUMPUR: Malaysia sewajarnya turut menyerlahkan solidariti kepada Palestin sebagaimana semangat ditunjukkan Qatar yang akan menangguhkan sambutan Hari Kebangsaan negara itu.
Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas memuji solidariti hebat oleh Qatar terhadap rakyat Palestin di Gaza dengan menangguhkan acara penting negara mereka.
“Di Malaysia, kita bukan tuntut untuk tangguhkan sambutan lain. Tetapi sekadar tangguhkan konsert Coldplay yang Mufti Wilayah Persekutuan pun syorkan tangguh.
“Itupun tak boleh. Lemah!” bidasnya susulan pihak kerajaan sehingga petang tadi tetap berpendirian untuk tidak menangguhkan, apatah lagi membatalkan konsert yang akan berlangsung di Ibu Negara itu, esok.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri bersandarkan alasan bahawa kumpulan artis antarabangsa itu turut menyokong Palestin dan beliau akan merujuk hal itu kepada mufti ketika menjawab di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
“Masa masih ada masa berbaki, kita minta kerajaan tolong tangguhkan konsert ini. Janganlah kerana akur dengan kelompok minoriti, kita lupa solidariti untuk saudara kita di Gaza.
“Lainlah jika minoriti itulah yang merupakan penyokong kuat kerajaan…mungkin itu yang dibimbangi,” ujar beliau tetap mengharap konsert tersebut esok tidak diteruskan.
Coldplay yang dikenali sedunia dengan penampilan bendera pelangi dan juga perlakuan songsang sejenis bersama aksi tidak sopan ketika persembahan itu merupakan pendukung kuat LGBTQ.
Banyak pihak telah membantah hasrat kumpulan itu mengadakan konsert di negara ini biarpun dialukan Anwar hingga menimbulkan kontroversi, namun ia tetap diteruskan oleh penganjur dengan pelbagai alasan normalisasi.
Antara yang menyuarakan nasihat agar konsert itu tidak diteruskan adalah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah. – HARAKAHDAILY 21/11/2023
Qatar tangguh Hari Kebangsaan, Malaysia teruskan Coldplay?
Demi solidariti kepada Gaza, Palestin
- Advertisement -