Negara Islam lemah ditindas Amerika dan sekutunya – Tun M

Tuan Guru Abdul Hadi di samping Tun Mahathir dalam Majlis Serahan Dana AID4 Palestine, di Cyberjaya pada hari ini, 20 Nov 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Umat Islam itu sendiri perlu menganuti agama Islam secara keseluruhan untuk membina kekuatan semula negara ini.

Mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir berkata, negara-negara Islam pada hari ini banyak ditindas kerana masih lemah dalam menghadapi negara-negara  kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan sekutunya.

- Advertisement -

“Buktinya boleh dilihat apabila bantuan-bantuan kemanusiaan yang ingin dihantar kepada negara Palestin itu sendiri ada kalanya disekat oleh Amerika Syarikat sehingga negara-negara Islam tidak mampu berbuat apa-apa.

“Oleh sebab itu pentingnya ramai umat Islam perlu menganuti agama Islam secara keseluruhan sebagaimana rakyat Turkiye pada zaman Daulah Uthmaniyah melakukan perkara tersebut yang membolehkan negara tersebut berjaya melawan pelbagai musuh Islam,: katanya ketika berucap di Majlis Serahan Dana AID4 Palestine, di sini, hari ini.

Menurutnya, ketika Daulah Uthmaniyah mempunyai kuasa yang kuat tiada satu pun kezaliman yang berani dilakukan oleh musuh-musuh negara Islam.

Kata beliau lagi, namun begitu umat Islam sendiri tidak lagi mempunyai kekuatan sebegitu kerana telah mengabaikan ajaran Islam itu sendiri yang mana negara Turki pada masa ini juga tidak lagi mampu mempertahan umat Islam seperti dahulu.

“Oleh sebab itu, kita sebagai umat Islam kena kembali semula kepada ajaran Islam yang sebenar walau apa pun supaya dapat mempunyai kekuatan dalam membantu rakyat-rakyat Palestin,” tegasnya.

Turut hadir ialah Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman; Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Pengerusi AID4PALESTINE, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Yahudi Zionis pandang rendah bangsa lain

Sementara itu, Abdul Hadi menyatakan bahawa orang-orang Yahudi Zionis adalah bangsa yang hanya amat mementingkan bangsanya sahaja semata-mata.

Tambah beliau, buktinya ialah dengan pengeboman yang dilakukan oleh kerajaan Israel itu sendiri juga terhadap golongan kristian yang menetap di Gaza.

“Jadi, bukan umat Islam sahaja yang menjadi mangsa tetapi juga golongan kristian yang menetap di Gaza juga menerima nasib yang sama,” kongsi beliau.

Menurut beliau lagi, Yahudi Zionis berjaya masuk dan mendakwa negara Palestin sebagai milik mereka juga hasil daripada kerjasama kuasa-kuasa barat seperti Perancis dan Britain serta Amerika Syarikat.

Kata beliau, perkara sebegini telah menyebabkan negara haram Israel pada hari ini sanggup membuat kezaliman terhadap rakyat Palestin atas daripada dokongan tersebut.

“Hal itu telah membuktikan bahawa Yahudi Zionis hanya menganggap bahawa bangsa bukan Yahudi sebagai bangsa yang bertaraf rendah.

“Maka, kita sebagai umat Islam amat wajib untuk bersatu walau apa pun bagi menghadapi mereka,” katanya.  HARAKAHDAILY 20/11/2023

- Advertisement -