CCUS sebagai sumber pendapatan: Berhakkah negeri?

- Advertisement -

PETRONAS Carigali pada November tahun lalu telah mengambil Keputusan Pelaburan Akhir (FID) untuk pembangunan projek penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon atau lebih dikenali sebagai Carbon Capture, Utilization and Storage (CCUS).

Projek CCUS Kasawari dan Lang Lebah yang akan dibina di luar pesisiran Sarawak itu dikatakan akan menjadi projek CCUS berskala besar pertama di Asia Tenggara.

PETRONAS Carigali juga pernah menyatakan hasrat untuk membina projek di Sabah dan Terengganu kerana dikatakan antara lokasi yang mempunyai potensi besar bagi pembangunan teknologi CCUS. 

Sebagai pemulaan, PETRONAS Carigali telah mengadakan mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan syarikat-syarikat gergasi seperti Shell, ExxonMobile, POSCO International Corporation, DNV serta pemain Jepun dan Korea Selatan dalam membina rantaian nilai selanjutnya di Malaysia. 

Bagaimanakah CCUS berfungsi

CCUS ialah teknologi inovatif yang memerangkap pelepasan karbon dioksida daripada dilepaskan ke atmosfera. Karbon dioksida yang dihasilkan di loji jana kuasa bahan api fosil akan ditangkap kemudian diangkut ke tapak penyimpanan.

Selepas itu, karbon dioksida itu akan disimpan dalam suntikan berskala besar dalam penyimpanan jangka panjang atau digunakan pada masa hadapan. 

Kebiasaannya, bekas takungan minyak yang habis atau berkurangan akan dijadikan tapak bagi simpanan karbon dioksida kerana ia sesuai dan selamat untuk penyimpanan karbon.

Permintaan terhadap CCUS dijangka akan meningkat dengan mendadak kerana cukai karbon yang akan dikenakan ke atas syarikat yang melepaskan gas rumah hijau. 

Dengan teknologi ini, kerajaan dapat menyelesaikan masalah lebihan simpanan karbon dalam negara dan menjana pendapatan negara dengan memajak tempat penyimpanan karbon kepada negara luar. Menurut Rystad Energy, Petronas dijangka menghasilkan pelaburan melebihi AS$76 bilion dari 2023 hingga 2025.

Perkara ini juga seiring dengan dengan komitmen negara untuk menangani perubahan iklim secara global dan mencapai matlamat Perjanjian Paris dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke arah pembangunan pelepasan karbon sifar menjelang 2050. 

Gunapakai Akta Laut Wilayah 2012

Memandangkan CCUS menggunakan telaga minyak dalam proses penyimpanan karbon, maka ia bersangkut paut dengan Akta Laut Wilayah 2012 sebagaimana yang turut dipakai kepada hasil petroleum dan royalti kepada negeri-negeri. 

Seandainya itulah yang berlaku, kerajaan negeri sekali lagi akan dinafikan haknya kerana untuk hasil yang melebihi 3 batu nautika akan menjadi hak wilayah, sepertimana yang dinyatakan dalam Seksyen 3(3) Akta Laut Wilayah 2012:

Bagi maksud Akta Pelantar Benua 1966 [Akta 83], Akta Perlombongan Petroleum 1966 [Akta 95], Kanun Tanah Negara [Akta 56/65] dan mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan tanah yang berkuat kuasa di Sabah dan Sarawak, apa-apa sebutan mengenai laut wilayah dalamnya hendaklah berhubung dengan mana-mana wilayah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai bahagian laut itu yang berdampingan dengan pantai wilayah itu tidak melebihi 3 batu nautika diukur dari garis air surut.

Peruntukan Seksyen 3 Akta Laut Wilayah 2012 bermaksud untuk menghadkan wilayah perairan sesebuah negeri hanya pada 3 batu nautika dari garis air surut. 

Ini secara tidak langsung telah mengubah persempadanan negeri dan hak-hak yang sepatutnya diberikan ke atas negeri-negeri tersebut. 

Perkara 2(b) Perlembagaan Persekutuan pula mengenakan syarat jika perubahan sempadan negeri hendak dibuat, Parlimen hendaklah terlebih dahulu mematuhi syarat dikenakan sebelum boleh melaksanakan kuasa membuat undang-undang sedemikian. 

Justeru, terdapat percanggahan pada Seksyen 3 Akta Laut Wilayah 2012 dan syarat yang dikenakan dalam Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan yang akhirnya menatijahkan isu hak royalti negeri yang tidak kunjung selesai.

Berbalik kepada penggunaan pelantar, tidak dinafikan CCUS bukanlah mengambil hasil bumi negeri, tetapi ia juga turut mendapat hasil kewangan daripada penggunaan pelantar dan pajakan tanah negeri.

Persoalannya, adakah kerajaan sudah bersedia merangka satu akta khusus bagi hasil CCUS atau hanya ingin mendiamkan diri dan menggunakan akta yang sama bagi penghasilan yang berbeza? Adakah hasil CCUS akan menjadi seperti hasil royalti yang dinafikan haknya? 

Kerajaan sepatutnya sudah mempunyai langkah tuntas dan menunjukkan keseriusan terhadap isu-isu di dalam rantaian pembinaan CCUS. 

Satu perbincangan bersama kerajaan negeri mestilah dilakukan dengan kadar yang segera terutamanya di Sabah, Terengganu dan Kelantan jika suatu akta baru bagi hasil CCUS akan diperkenalkan. Jika tidak, maka tuntutan hasil CCUS akan menjadi episod kedua selepas tuntutan royalti petroleum.

MOHAMAD IZZAT TUAN IBRAHIM
Penyelidik
Yayasan Strategik Lestari (YSL) – HARAKAHDAILY 20/11/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -