
KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani digesa agar membatalkan konsert Coldplay di negara ini tetapi menampilkan persembahan hiburan yang lebih ke arah berunsur Islamik yang lebih sopan dan bertamadun.
Ahli Parlimen Temerloh dari PERIKATAN NASIONAL (PN), Salamiah Mohd Nor berkata demikian susulan konsert band tersohor, Coldplay yang dikatakan sudah sold-out jualan tiketnya tetap akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur menjelang Rabu (22 Nov) ini.
Menurut beliau, konsert hiburan yang dipersembahkan oleh kumpulan Coldplay tidak sesuai di negara ini, berikutan sebelum ini Malaysia pernah dimalukan dengan insiden yang tidak senonoh yang pernah dilakukan oleh sebuah band antarabangsa dikenali sebagai 1975 dalam festival muzik Good Vibes yang berlangsung di Sepang, pada Julai lalu.
Band 1975 turut mempertikaikan undang-undang di Malaysia yang masih tidak memberi peluang kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ) hidup tanpa disekat kebebasan.
“Istilah kesopanan dalam hiburan mestilah diukur dari kacamata Islam dan bukannya dari ukuran sekular.
“Pihak penganjur yang terlibat perlu memastikan artis luar yang membuat konsert di Malaysia menjaga sensitiviti, adab, tatasusila dan undang-undang serta tiada unsur kontroversi semasa persembahan dilakukan,” katanya kepada HarakahDaily.
Tambah beliau, pihak kerajaan pula sepatutnya sedar dan mendengar terlebih dahulu nasihat dari mufti dan ulamak yang mahukan konsert ini dibatalkan.
“Seperti biasa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berdiam diri dalam isu yang mencabar integriti agama dan kesopanan hidup bangsa. Seolah-olah, mereka tidak mengetahui apa yang sedang berlaku,” hujahnya.
Justeru, beliau turut mempersoalkan apakah manfaat dan hasil yang diperolehi daripada persembahan hiburan sebegitu buat rakyat di negara ini?
“Adalah lebih malang lagi pada masa kini apabila kerajaan madani telah memberikan diskaun atau potongan cukai sebanyak 25 peratus terhadap persembahan pentas oleh artis luar negara seperti yang dinyatakan dalam bajet belanjawan negara 2024 baru-baru ini,” ujarnya.
Katanya lagi, seperti mana yang kita ketahui, konsert ini akan diadakan di Stadium Bukit Jalil, bertujuan untuk menarik seramai mungkin para penonton khususnya golongan muda yang beragama Islam.
“Dalam keadaan dunia sedang berdukacita dengan pembunuhan beramai-ramai rakyat Islam di Palestin oleh tentera Zionis Israel dan gerakan solidariti Palestin dilaungkan, umat Islam di negara ini pula terus dibius pemikiran mereka agar tidak peka dengan permasalahan umat Islam sejagat.
“Kita mahu kerajaan madani pada masa ini bertanggungjawab atas program yang tidak memberi sebarang manafaat untuk pembentukan jiwa rakyat.
“Oleh itu, mohon batalkan konsert coldplay,” tegas beliau.
Salamiah turut berkata bahawa tidak pelik ada golongan yang mengambil kesempatan mencabar undang-undang syariah di mahkamah yang menandakan kejahilan tentang hukum Allah SWT.
“Hal ini memberikan kesan terhadap umat Islam yang terus leka dengan hiburan yang terancang secara bersiri dari dalam dan luar negara.
“Maka, umat Islam perlu mengingati tentang amaran Allah SWT seperti yang terkandung dalam al-Quran.
“Sesungguhnya orang-orang beriman itu menyeru ke arah kebaikan dan mencegah daripada melakukan kemungkaran. Sementara, orang-orang munafik pula mengajak ke arah kemungkaran dan menghalang manusia daripada membuat kebaikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/11/2023