Penyanyi Pink dakwa Hamas bunuh, tindas wanita

Penyanyi terkenal Pink kini tampil menyuarakan tentang pandangannya terhadap konflik Hamas-Israel melalui platform media sosial.
- Advertisement -

LOS ANGELES: Penyanyi terkenal Hollywood, Pink mendakwa pejuang Hamas di Gaza telah membunuh dan menindas golongan wanita.

Pemilik nama sebenar Alicia Beth Moore, 44, itu dalam hantaran di Instagram miliknya, @P!NK pada Sabtu (28 Okt) lepas, dan sekali lagi pada hari ini, Isnin (30 Okt) memuatkan kenyataannya yang sama memaparkan satu senarai mengandungi 10 kenyataan sebagai ulasan tentang apa yang berlaku dalam konflik Hamas-Israel ketika ini.

- Advertisement -

Dalam senarai nombor dua di instagramnya yang mempunyai 10.4 juta pengikut itu, tertera ayat yang ditulis dalam bahasa Inggeris yang bermaksud: “Hamas adalah pertubuhan pengganas yang ingin memusnahkan Yahudi. mereka juga membunuh dan menindas wanita, komuniti LGBTQIA+ dan lawan politik.”

Senarai nombor empat pula menyatakan bahawa, “Baik palestin mahupun Israel tidak boleh wujud secara aman di bawah tindakan Hamas.”

Senarai 10 ulasan dalam Instagram Pink yang mengulas tentang konflik Hamas-Israel. (FOTO: Tangkapan skrin instagram @P!NK)

Senarai yang dikemukakan Pink itu bagaimanapun turut menyuarakan keprihatinannya terhadap nasib rakyat Palestin pada nombor 3 dalam senarai tersebut yang tertulis bermaksud: “Palestin memerlukan penyelesaian yang menghormati aspirasi dan (hak) kemanusiaan mereka.”

Senarai itu juga menyatakan bahawa “Prasangka dan kebencian terhadap mana-mana kumpulan adalah tidak boleh diterima”; dan bahawa “Sebarang keganasan atau demonstrasi penuh kebencian yang berlaku di seluruh dunia memburukkan lagi masalah…”

Terdahulu, pada 16 Okt lalu, penyanyi itu dilaporkan menafikan bahawa bendera Israel telah dikibarkan ketika konsert jelajahnya di seluruh Amerika Syarikat, selepas selatan Israel diserang oleh Hamas pada 7 Okt lepas. – HARAKAHDAILY 30/10/2023

- Advertisement -