Diskaun PTPTN terendah: Keutamaan kerajaan kini tempang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemberian diskaun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hasil pembentangan Belanjawan 2024 adalah yang terendah berbanding semasa pentadbiran negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri ke-enam, Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Perdana Menteri lain sebelum ini.

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan menzahirkan perasaan terkilan dengan cadangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Okt lepas berkenaan pemberian diskaun ke atas bayaran balik pinjaman PTPTN. 

- Advertisement -

“Tindakan mengurangkan kemudahan pemberian diskaun PTPTN ini bakal memberikan impak negatif kepada golongan graduan kerana ia tentunya membebankan.

“Sehubungan itu, anak-anak muda pada masa kini turut menggesa agar Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim memberikan data tepat berkenaan pembayaran balik PTPTN dengan menggunakan diskaun yang diberikan kerajaan,” katanya. 

Sikap Adam Adli tindakan zalim

Shahir turut membangkitkan tindakan Adam Adli yang dahulunya merupakan seorang aktivis (pejuang pelajar) lantang memperjuangkan pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN.

Shahir Adnan

 “Adam Adli kini selesa berada di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan dan telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.  

“Sehingga hari ini, beliau kini tampak membisu berkenaan isu pemberian diskaun terhadap para peminjam PTPTN.

“Dahulu, Adam pernah menyuarakan PTPTN ditubuhkan untuk meningkatkan pendidikan rakyat dan bukannya lubuk untuk meraih keuntungan dan bukannya pinjaman pendidikan komersial terhadap rakyat,” jelasnya kepada HarakahDaily

Sikap yang telah ditonjolkan oleh Adam Adli itu, ujar beliau, merupakan satu tindakan zalim kepada golonga graduan yang baru sahaja menceburkan diri dalam pekerjaan.

“Sudah tentunya akan akan mempengaruhi kewangan graduan secara langsung dan tidak langsung,” tegasnya.

Tambah beliau lagi, pada masa yang sama, pihak kerajaan turut bercadang untuk  menaikkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada enam peratus kepada lapan peratus. 

Menerusi Belanjawan 2024, diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN, sebanyak 10 peratus diberikan atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman.

Diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.

Sementara, diskaun 15 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.

Diskaun PTPTN yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 berkurangan separuh berbanding dahulu. (FOTO HIASAN)

Mengulas lanjut, Shahir berkata dalam era Najib menjadi Perdana Menteri, diskaun PTPTN diberikan sebanyak 20 peratus bagi penyelesaian penuh hutang pinjaman; sementara 15 peratus dikenakan bagi bayaran kurang daripada 50 peratus.  

“Dilihat pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu, semuanya pukul rata dengan jumlah diskaun yang rendah, hanya 10 peratus diskaun diberikan bagi penyelesaian penuh dan bayaran kurang 50 peratus. 

“Kalau dahulu, bagi pinjaman RM20,000, lepasan graduan dapat menikmati potongan sehingga RM4,000. Kini, semuanya berkurang separuh,” ungkapnya. 

Justeru, beliau mempersoalkan, kerajaan pada masa yang sama turut memberikan diskaun terhadap duti hiburan daripada 25 peratus kepada 10 peratus untuk artis luar negara. 

“Di manakah keadilan buat golongan anak muda terpaksa bayar hutang dengan lebih tinggi, manakala artis luar pula dikurangkan membayar cukai kepada negara. 

“Keutamaan kerajaan pada masa ini nampaknya agak tempang dalam menitikberatkan orang luar berbanding anak muda rakyat Malaysia,” katanya. HARAKAHDAILY 18/10/2023

- Advertisement -