Barcelona bermandi peluh catat keputusan seri

Barcelona mencatatkan keputusan seri 2-2 dalam perlawanan La Liga bertemu Mallorca di Sepanyol pada 26 Sept 2023. (FOTO: REUTERS)
- Advertisement -

PALMA DE MALLORCA: Pasukan gergasi Sepanyol, Barcelona bermandi peluh setelah bangkit dua kali dari ketinggalan bagi mencatatkan keputusan seri 2-2 bertemu Mallorca dalam perlawanan pada Selasa (26 Sept), sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah La Liga musim ini.

Barcelona kini mengungguli tangga La Liga dengan 17 mata, namun berkemungkinan besar akan dipintas dua pasukan yang mempunyai kelebihan satu perlawanan, Girona yang hanya satu mata di belakang dan bakal bertemu Villarreal, sementara Real Madrid telah mengumpul 15 mata akan bertemu Las Palmas.

- Advertisement -

“Perlawanan ini agak sukar untuk kami bermain. Kita telah mengharungi dua perlawanan sebelum ini dengan perasaan yang sama dan kita mesti perbaiki lagi. Kita memberi ruang terlalu banyak kepada lawan,” kata pemain tengah Barcelona, Oriol Romeu dalam satu kenyataan, lapor Reuters.

“Permainan mereka yang menyerang balas pantas dengan mudah memaksa kami untuk berlari lebih banyak. Kami mesti perbaiki perkara ini.”

Bermula garang di awal permainan, tekanan awal tuan rumah berjaya membuahkan hasil apabila penjaga gol Marc-Andre ter Stegen melakukan kesilapan dan dihukum oleh Vedat Muriqi untuk jaringan pertama Mallorca pada minit ke-8 .

Rafinha kemudiannya menyamakan kedudukan Barcelona dengan rembatan leret kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-41, sebelum serangan balas beberapa minit kemudian di penghujung babak pertama membawa Mallorca kembali di depan setelah hantaran penjaga gol, Pedrag Rajkovic disambut Muriqi sebelum Abdon Prats menggegar gawang lawan.

Dalam separuh masa kedua, Mallorca dilihat mengendurkan sedikit serangan dan keadaan tersebut dimanfaatkan Barcelona apabila pemain gantian mereka, Fermin Lopez mudah menampan masuk ke gawang hasil hantaran lintang rendah Raphinha pada minit ke-75, menjadikan kedudukan 2-2 sehingga wisel penamat.

“Masalahnya adalah pada kesilapan pertahanan kami, ini merupakan kesilapan besar yang tidak sepatutnya berlaku, terutama di dalam perlawanan yang sengit dan tegang seperti ini” ujar pengendali Barcelona, Xavi Hernandez.

“Kita terlalu mudah untuk dibolosi. Saya rasa kita mengawal permainan selepas jaringan penyamaan, kita juga mempunyai peluang untuk mendahului 2-1 beberapa kali. Kita gagal memenangi perlawanan ini kerana kesilapan kita sendiri,” katanya.

Barcelona dijadualkan bakal bertemu Sevilla pada Jumaat (29 Sept)  ini di laman sendiri, sebelum berlepas ke Porto bagi mengarungi perlawanan kedua dalam kempen peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.  – HARAKAHDAILY 27/9/2023

- Advertisement -