RAMAILAH yang meloncat gembira bila Petisyen Kuala Terengganu (KT) dan semalam Kemaman dibenarkan, dan pilihan raya semula perlu diadakan. PAS pun dicanang terbabit rasuah.
Ada 2 perkara yang tidak disebut dengan jelas. Pertama, wang sogokan yang dikatakan melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya (Akta 5) yang diberikan di KT dan Kemaman (dan seluruh Negeri Terengganu) adalah Bantuan One-Off untuk Ibu Tunggal, OKU, Pencen Rakyat, Belia dan Siswa.
Bantuan tersebut dibentangkan dalam DUN Terengganu sekitar November 2021, diluluskan dan digazetkan sebagai Enakmen Perbekalan yang akhirnya mendapat perkenan Baginda Sultan.
Pengumuman bantuan dan tarikh pemberian diumumkan pada 15 September 2022 oleh Exco berkaitan. Jeda masa antara kelulusan DUN dan pengumuman adalah lantaran proses-proses biasa kerajaan.
Pada 15 September 2022 tersebut, Exco mengumumkan dalam sidang media bahawa permohonan bantuan perlu dibuat secara atas talian, dan pemberian bantuan akan dibuat dalam bulan November 2022. Syarat-syarat kelayakan juga diumumkan.
Pada 10 Oktober 2022, Parlimen dibubarkan, dan tarikh pengundian ditetapkan pada 19 November 2022.
Kami telah berhujah bahawa bantuan one-off tersebut bukan satu skim merasuah atau meraih undi kerana ia dibuat mengikut prosedur Kerajaan Negeri (yang belum dibubar) yang betul dan diumumkan Sebelum Parlimen dibubarkan.
Sila ambil perhatian mengenai fakta bahawa bantuan tersebut perlu dipohon melalui atas talian. Maka yang menerima adalah yang memohon, bukannya Kerajaan Negeri beri sesuka hati kepada siapa yang diingini. Fakta menunjukkan bantuan diberikan tanpa mengira latar politik.
Namun, Mahkamah menyatakan, memandangkan program pemberian bantuan dibuat ketika tarikh-tarikh sewaktu kempen pilihan raya, ia adalah satu sogokan oleh ejen calon.
Kedua, kedua-dua Mahkamah dalam Petisyen KT dan Kemaman tidak melaporkan mana-mana individu kepada SPRM. Kesannya, calon yang menang dan dikatakan terlibat dalam sogokan tidak dihalang (banned) daripada terus bertanding. Sebab itu di KT, Datuk Amzad bertanding semula dalam PRK dan mendapat majoriti lebih daripada sebelumnya. Dan saya dengar dalam PRK Datuk Ahmad Amzad Hashim, belanja rakyat di kedai kopi pun tidak.
Dan tiada pendakwaan oleh SPRM dibuat ke atas Datuk Amzad atas kesalahan yang sama.
Saya menyebut kedua-dua perkara ini bukan untuk mempertahan apa yang telah berlaku. Saya cuma ingin ingatkan, janganlah terkinja-kinja melompat macam Hulu Langat menuduh PAS bergelumang dengan rasuah dan sebagainya, walhal faktanya hanya begitu.
Dan tengok-tengoklah diri sendiri dan rakan politik anda, apakah ada juga yang melakukan sedemikian, bahkan lebih teruk lagi.
Sekiranya prinsip-prinsip dalam keputusan KT dan Kemaman diterima sebagai prinsip matan, maka selepas ini perkara di bawah tidak lagi boleh dilakukan:
a. Bantuan one-off oleh kerajaan yang disampaikan oleh anggota kerajaan (yang juga merupakan ahli parti calon yang bertanding) kepada pengundi berdaftar kawasan calon bertanding.
Contoh: PRK Pelangai – sekiranya bantuan wang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang atau Kerajaan Persekutuan melalui Exco atau Menteri yang merupakan ahli parti (berjawatan) kepada pengundi Pelangai – kerana mereka ada ‘common interest’ untuk memenangkan calon DUN Pelangai.
b. Ucapan kempen dan meraih undi oleh calon atau ejennya (ahli parti berjawatan) dalam program-program Kerajaan Negeri atau Persekutuan.
c. Kehadiran calon dalam program Kerajaan Negeri atau Persekutuan yang membabitkan pemberian bantuan kepada pengundi.
Ya, semua ini tidak boleh. Dan ya, kita pernah lihat lebih dahsyat daripada itu. Ucapan Menteri berkempen untuk calon dalam majlis Kerajaan di kawasan pilihan raya sewaktu berkempen dengan mengumumkan banyak sekali bantuan – itu seperti sudah biasa dan mangli didengar. Kampit beras dan bakul makanan bertukar tangan itu sudah jadi rutin. Wang tunai dibayar kepada konvoi motosikal pun bukan lagi pelik.
Ada satu lagi perkara penting dihujahkan di KT dan Kemaman. Syarat bantuan one-off yang diletakkan oleh Kerajaan Terengganu ialah pemohon mestilah pengundi berdaftar di Terengganu. Saksi memberi keterangan menyatakan bahawa tujuannya ialah untuk memastikan komitmen pengundi dalam proses pemilihan kerajaan. Ia dihujahkan Pempetisyen sebagai satu skim sogokan dan meraih undi.
Kami berhujah syarat tersebut tidaklah salah. Kerana ia hanya meletakkan syarat pengundi berdaftar dan bukan pengundi PAS.
Semakan kami menunjukkan negeri-negeri lain juga mempraktikkan perkara sama termasuk Selangor (Bingkas Selangor) dan Pulau Pinang (i-sejahtera). Jadi tidaklah pelik mana pun.
Pokoknya, kalau penguatkuasaan Akta 5 itu ingin diperketatkan, saya orang pertama yang akan setuju. Biarlah pilihan raya berjalan sebersih-bersihnya.
Namun, jangan terlalu bersifat hipokritikal, hanya kerana ingin menuduh PAS bergelumang rasuah, walhal ekor sendiri bergelumang tahi.
Oh, yang terakhir, ada juga yang membaca Hadis Nabi mengenai pemberi dan penerima rasuah. Ya, kita tahu Hadis itu. Kalau begitu, saya sarankan buatlah laporan polis terhadap semua penerima bantuan Kerajaan Negeri kerana mereka semua adalah penerima rasuah.
Wallahu’alam.
YUSFARIZAL YUSSOFF
Peguam – HARAKAHDAILY 27/9/2023
Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid043PAdP96quZM5XGNFhDewhQFc2FhKT4L2JpQeHkHo8EeV7GowP234ETBkfhfDL2El&id=1460461665&mibextid=Nif5oz
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.