Menjawab kekeliruan Howard Lee

- Advertisement -

“PARLIMEN ni sistem penjajah. Kenapa Hadi nak masuk parlimen?” 

Kenyataan ini memerlukan penjelasan panjang.

YB kata YB banyak belajar dan membaca, mungkin YB boleh baca jawapan Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) di sini, https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0fuiqKegxxapzHpfe7zPHRja1fbntyp4237GQEVmKqs7owfmBUG8gyCU3PaTi4zxpl&id=100064718314834 

YB jadikan surah an-Nisa ayat 59 sebagai dalil untuk umat Islam taat kepada pemimpin.

Dalam Islam, ketaatan kepada Allah dan Rasul harus diberikan secara mutlak, manakala taat kepada Ulu al-Amri (ulamak dan umarak) adalah bersyarat iaitu selagi mana pemimpin itu berlaku adil dengan mematuhi perintah Allah dan Rasul. 

Ini disepakati oleh seluruh ulamak tafsir. Jadi YB jangan tafsir ayat al-Quran ikut fahaman sendiri.

YB kata propaganda nak angkat Islam atas nama agama adalah untuk raih undi.

Itu sebenarnya propaganda DAP. Kerana perjuangan menegakkan agama Islam bagi kami adalah tanggungjawab. 

Manusia diciptakan dengan tujuan iaitu wajib beriman, beribadat dan bermasyarakat dengan berkhilafah (berpolitik) bagi menegakkan sebuah negara masyarakat majmuk yang berkonsepkan adil kepada semua. 

Tuan Guru tak boleh terima Kerajaan Madani yang hidupkan perpaduan macam Madinah al-Munawarah?

Madinah al-Munawarah yang dipimpin Rasulullah S.A.W menjadikan Islam sebagai dasar negara sehingga masyarakat majmuk boleh hidup aman di Madinah. 

Rasulullah S.A.W melaksanakan konsep perpaduan umat dengan cara mengeratkan persaudaraan Islam dan persaudaraan kemanusiaan selepas melakukan hijrah. 

“Masyarakat sudah boleh menilai mana baik mana buruk.”

Kenyataan ini saya setuju. Benar rakyat sudah bijak. Kerana itu rakyat menolak orang-orang yang banyak menipu, menerima perasuah dan yang membawa agenda Malaysian Malaysia serta negara sekular.

“Dia (TGHH) nak takut-takutkan orang Islam dari menyokong DAP.”

YB. YB yang sedang menakut-nakutkan orang dengan tafsiran tanpa ilmu ini. 

Jika orang Melayu Islam bercakap mengenai perjuangan Melayu Islam digelar ekstrem, apa gelaran yang sesuai buat YB Howard Lee? Pejuang agama? 

Kalau asatizah disekat dari berceramah kerana terlibat dengan politik, apa autoriti YB untuk mengupas mengenai agama Islam?

Semoga penulisan ini tidak dikategorikan sebagai memainkan sentimen 3R kerana kami hanya menjawab video YB DAP yang menyentuh mengenai Melayu Islam dengan tafsiran yang mengarut.

Nasihat saya buat YB Howard Lee, janganlah buat perangai penjajah. Jangan memandai-mandai mengenai agama kami.

KAMIL ARIF BAIHAGI
Pengerusi SiswaPAS Malaysia
19 September 2023 – HARAKAHDAILY 19/9/2023

- Advertisement -
- Advertisement -