KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar mempertahankan dakwaannya sebelum ini bahawa kerajaan menarik balik peruntukan kepadanya selepas tidak lagi bersama Kerajaan Perpaduan.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan, beliau mendapat pengesahan itu daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) sendiri.
Sebelum itu, Tan Kar Hing (PH-Gopeng) yang mencelah ketika penggulungan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menyatakan kembimbangan apabila sentimen tiada peruntukan untuk ahli parlimen pembangkang terus dimainkan.
Malah, beliau secara spesifik menyebut Ahli Parlimen Muar menyebabkan Syed Saddiq bingkas bangun membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(6) untuk menjawab kenyataan Kar Hing.
“Dalam bab ini, saya dapat pengesahan daripada ICU sebaik saja saya berada di blok ini (pembangkang), peruntukan telah ditarik dan dikosongkan.
“Persoalan sama kepada semua ahli parlimen pembangkang yang saya yakin sehingga ke hari ini tidak dapat peruntukan.
“Dalam RM3.8 juta yang semua ahli parlimen kerajaan dapat, RM2 juta boleh diperuntukkan untuk bina dewan, baik pulih sekolah dan bantu orang susah.
“Jangan nak tuduh. Persoalan, kenapa ahli parlimen kerajaan boleh dapat RM4 juta, pembangkang dapat RM0. Jawab kepada rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/9/2023