Hantu di sebalik isu beras dalam negara

- Advertisement -

ISU ketiadaan beras putih tempatan di seluruh negara telah berlarutan lebih sebulan. Kehilangan beras putih tempatan pada saat harga beras putih import mencanak naik, mendatangkan kemarahan dan tanda tanya orang ramai. 

Malangnya, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) seolah-olah masih dalam mood penafian. Responnya mudah, stok beras putih tempatan masih mencukupi dan harganya terkawal. [1] Dakwaan pengerusi MADA bahawa kekurangan beras putih tempatan adalah disebabkan ‘pengguna membeli beras secara  banyak’ juga adalah mengelirukan. [2]

Sikap ‘in-denial’ pihak kerajaan ternyata sangat tidak berperikemanusiaan, di saat rakyat tersepit antara ketiadaan stok beras putih tempatan dengan peningkatan drastik harga beras putih import. 

Ini berbeza dengan Kerajaan Negeri Terengganu yang telah berjaya menyediakan bekalan beras putih tempatan untuk seluruh rakyat Terengganu, bahkan mempunyai lebihan untuk disalurkan kepada negeri-negeri lain. [3]

Terengganu berjaya memastikan kitaran penghasilan beras dari proses penanaman, penuaian, pemprosesan, pembungkusan dan pengedaran semuanya melalui pemilikan anak negeri, tanpa ruang untuk para ‘kartel’ memeras dan memanipulasi, mengambil kesempatan dalam kesulitan. Kejayaan ini sepatutnya menjadi contoh dan inspirasi negeri-negeri lain; termasuk Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Persekutuan.

Kedah juga merintis jalan keluar dari monopoli kartel padi, melalui inisiatif Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (Smart SBBA), yang diusahakan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sistem padi kunca (sistem pinjaman melibatkan cara pembayaran menggunakan hasil padi) dikhuatiri menyebabkan petani terpaksa membayar bunga kepada tauke yang memberi hutang hingga 700 peratus. [4]

Selangor sepatutnya boleh mencontohi langkah Kerajaan Terengganu dan Kedah untuk menambah keluasan tanah sawah dan meningkatkan hasil padi untuk kegunaan sendiri sehingga mencapai tahap SSL.

Seorang wartawan Edisi Siasat yang tersohor dan berkredibiliti, Tuan Haji Zainal Rashid Ahmad mendedahkan, krisis beras putih tempatan hari ini adalah disebabkan satu entiti telah membeli kesemua padi pada harga yang tinggi dari harga pasaran. 

Petani-petani yang saban hari ditekan dengan harga baja dan racun yang tinggi serta margin keuntungan yang kecil, dengan berbesar hati menjual padi kepada entiti ini tanpa sedar malapetaka yang menanti. 

Setelah membolot semua padi yang dikeluarkan petani tempatan, entiti ini telah mengilang dan membungkus beras putih tempatan dengan sedikit campuran beras import untuk dipasarkan sebagai beras super special import (SSI). [5]

Keuntungan menjual beras tempatan sebagai beras import sudah tentu berlipat ganda. Apa lagi beras SSI tidak tertakluk kepada harga siling dan harga beras import secara global memang meningkat apabila India dan Thailand mengurangkan eksport beras masing-masing. 

Penindasan dalam rantaian pengeluaran beras ini adalah masalah warisan yang telah berlaku selama puluhan tahun.

Harapan rakyat; sebuah kerajaan yang semasa menjadi pembangkang melaungkan reformasi institusi dan tata kelola yang baik mestilah tangkas dan berani mengambil tindakan terhadap hantu-hantu di sebalik krisis beras tempatan ini dalam kalangan agensi yang gagal berfungsi dan kartel yang memonopoli. 

Sudah sekian lama hantu-hantu ini menghisap darah petani dan rakyat Malaysia, sudah sampai saatnya kita bebaskan Malaysia daripada hantu-hantu yang bermaharajalela. 

Daripada menafikan dakwaan ini secara semberono, kerajaan seharusnya menyiasat dengan amanah dan adil. Kepercayaan rakyat yang terhakis pasca skandal insurans INSAN mesti dipulihkan dengan memperlihatkan tindakan tangkas dan tegas dalam menangani krisis beras ini.

YB USTAZ NUSHI MAHFODZ
Ahli Dewan Undangan Negeri
N.24 Semenyih – HARAKAHDAILY 15/9/2023

Rujukan:

[1] Harga beras tempatan masih terkawal, bekalan mencukupi – Mat Sabu
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/harga-beras-tempatan-masih-terkawal-bekalan-mencukupi-mat-sabu-436289

[2] Ismail Salleh : Beras kurang kerana pengguna membeli secara banyak
https://vt.tiktok.com/ZSLKGHhWL/

[3] Bagaimana Terengganu pecahkan monopoli beras
https://www.facebook.com/100044468318018/posts/pfbid0LNEC1z6cDHhWme63Qzd2CBDYesfoVdKq6JF5ayfxpDbrpWwnvJEVv2BhFrp8RKLol/?mibextid=Na33Lf

[4] Smart SBBA LZNK tangani masalah monopoli, kartel padi
https://www.sinarharian.com.my/article/278846/edisi/utara/smart-sbba-lznk-tangani-masalah-monopoli-kartel-padi—sanusi

[5] Manipulasi Pengilang Beras https://vt.tiktok.com/ZSLKttqEe/

- Advertisement -
- Advertisement -