5,000 maut banjir di Libya: 37 bangunan hanyut ke laut

Beberapa buah kenderaan penduduk tersadai di tepi pantai Derna, Libya pada 12 Sept 2023 selepas dihanyutkan arus deras air banjir pada 11 Sept. (FOTO: REUTERS)
- Advertisement -

DERNA, Libya: Lebih 5,000 nyawa dianggap sudah terkorban dan 10,000 yang lain masih hilang selepas hujan lebat melanda di timur laut Libya akibat Ribut Daniel, menyebabkan dua empangan runtuh di bandar Derna, melonjakkan lebih banyak air ke kawasan yang sudah ditenggelami air menyebabkan sekurang-kurang 37 buah bangunan dihanyutkan ke laut.

Jurucakap Tentera Kebangsaan Libya (LNA), Ahmed Mismari pada lewat Selasa (12 Sept) berkata, dua empangan yang runtuh telah menyebabkan air mengalir deras ke arah Derna, menyebabkan jumlah kematian  kerosakan besar.

“Tiga jambatan musnah. Air yang mengalir membawa seluruh kawasan kejiranan, akhirnya menghanyutkannya ke dalam laut,”  katanya sambil yang menjelaskan bahawa selain Derna, malapetaka itu telah menjejaskan beberapa bandar lain termasuk Al-Bayda, Al-Marj, Tobruk, Takenis, Al-Bayada, dan Battah, serta pantai timur sehingga ke Benghazi; dengan sekurang-kurangnya 37 bangunan kediaman dihanyutkan ke laut.

- Advertisement -

Sementara, Ketua delegasi Persekutuan Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa di Libya, Tamar Ramadan  dalam kenyataan terbaharunya, ketika memberi taklimat mengenai jumlah mangsa tragedi itu kepada media  Geneva, Switzerland, pada lewat Selasa (12 Sept) berkata: “Jumlah kematian adalah besar,” katanya.

Media tempatan Libya, LANA dalam laporannya merujuk kepada kenyataan Kementerian Dalam  Negeri negara itu pula melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 5,300 telah dianggap maut dalam malapetaka itu.

Menteri Kesihatan di pentadbiran timur Libya, Othman Abduljalil dalam kenyataannya kepada stesen TV Libya, Almasar berkata: “Daripada jumlah mereka yang terbunuh, sekurang-kurangnya 145 ialah warga Mesir,” kata pegawai di bandar timur laut Tobruk, di Libya, pada Selasa.

Visual bandar Derna di Libya yang dirakam pada Selasa, 12 Sept 2023 selepas dirempuh aliran deras air banjir daripada dua empangan yang pecah angkara Ribut Dabiel pada 11 Sept. (FOTO: Sky News)

“Di bandar Derna yang menyaksikan kemusnahan paling teruk, seramai 6,000 orang masih hilang,” tambahnya.

Sementara jurucakap perkhidmatan Kecemasan dan Ambulans, Osama Aly memberitahu CNN, hospital di Derna tidak lagi beroperasi dan bilik mayat penuh, dengan mayat telah ditinggalkan di luar bilik mayat di kaki lima.

Seorang doktor perubatan yang kini menjadi sukarelawan di Derma, Anas Barghathy, pula berkata: “Orang ramai sedang bekerja pada masa ini untuk mengumpul mayat yang reput.” 

Hujan tekanan rendah dari Greece

Hujan yang telah melanda beberapa bandar di timur laut Libya, adalah hasil daripada sistem tekanan rendah yang sangat kuat yang membawa bencana banjir ke Greece minggu lalu dan berpindah ke Mediterranean sebelum berkembang menjadi taufan atau ribut  tropika Daniel.

Orang ramai di bandar Derna yang terselamat meninjau kawasan kediaman masing-masing pada 12 Sept 2023 yang musnah akibat limpahan banjir dahsyat pada 11 Sept. (FOTO: CNN)

Ribut maut itu datang dalam tahun bencana iklim yang belum pernah terjadi sebelumnya dan cuaca ekstrem yang memecahkan rekod, daripada kebakaran hutan yang memusnahkan kepada iklim panas yang mencengkam negara itu.

Sama seperti suhu lautan di seluruh dunia melonjak daripada carta disebabkan oleh pencemaran pemanasan planet, suhu di kawasan Mediterranean adalah di atas purata, yang dikatakan oleh saintis menyebabkan hujan lebat angkara Ribut Daniel.

“Air yang lebih panas bukan sahaja membakar ribut tersebut dari segi intensiti hujan, ia juga menjadikannya lebih ganas,” ujar saintis iklim dan ahli meteorologi di Universiti Leipzig di Jerman, Karsten Haustein memberitahu Pusat Media Sains.

Konflik politik

Libya yang terdedah kepada cuaca ekstrem meningkat dengan konflik politiknya yang berlarutan sekian lama, yang menyaksikan perebutan kuasa selama sedekad antara dua pentadbiran yang bertelagah.

Visual bandar Derna yang ‘terbelah’ dua akibat aliran deras banjir yang menhanyutkan berpuluh-puluh bangunan ke laut. (FOTO: India.com)

Kerajaan Perpaduan Nasional (GNU) yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang diketuai oleh Abdulhamid Dbeibeh, terletak di Tripoli di barat laut Libya, manakala saingan timurnya dikawal oleh komander Khalifa Haftar dan Tentera Kebangsaan Libya (LNA), yang menyokong parlimen yang berpangkalan di timur negara itu diketuai oleh Osama Hamad.

Derna, yang terletak kira-kira 300 kilometer (190 batu) di  timur Benghazi, berada di bawah kawalan Haftar dan pentadbiran timurnya.

Pensyarah di Sistem Alam Sekitar di The Open University, Leslie Mabon memberitahu Pusat Media Sains, konflik politik Libya yang kompleks telah menimbulkan cabaran untuk membangunkan komunikasi risiko dan strategi penilaian bahaya, menyelaraskan operasi menyelamat, dan juga berpotensi untuk penyelenggaraan infrastruktur kritikal seperti empangan. 

Dalam pada itu, Mismari berkata, pihak berkuasa Libya ketika ini memerlukan tiga jenis kumpulan pencarian khusus termasuk pasukan untuk mendapatkan mayat dari lembah berceranggah selepas arus deras menyuraikan kawasan penampatan penduduk;  pasukan untuk mendapatkan mayat dari bawah runtuhan; dan pasukan untuk mendapatkan mayat yang hanyut dari laut.

“Puluhan ribu anggota tentera telah dikerahkan, tetapi banyak kawasan yang dilanda banjir masih tidak dapat diakses oleh pekerja kecemasan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/9/2023