KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) gagal menyambut cabaran Ketua Whip PERIKATAN NASIONAL (PN) untuk memberikan contoh khusus mengenai keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) ketika era pentadbiran kerajaan PN.
Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) meminta Amirudin memberikan contoh berkenaan DNAA bagi tempoh antara 2020 hingga 2022.
“Boleh Yang Berhormat (Gombak) beri satu contoh seumpama kes melibatkan Yang Amat Berhormat (Ahli Parlimen) Bagan Datuk, khususnya pengguguran kes itu di peringkat pembelaan.
“Boleh bagi contoh-contoh kes?” katanya ketika mencelah perbahasan Amirudin ketika perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat hari ini.
Namun Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor mengelak memberi jawapan tepat dengan memberi alasan: “Mungkin keadaan tidak sama secara spesifik tetapi kalau kita lihat pendakwaan-pendakwaan atau kes-kes yang terlibat juga berlangsung sejak 2020 yang melibatkan kes rasuah dan pengubahan wang haram.”
Menurutnya, perkara yang hendak dibangkitkan bukan mengenai kes mahkamah yang melibatkan prima facie dan sebagainya.
Katanya, penegasannya ialah berhubung kuasa pendakwaan dan Peguam Negara yang perlu diubah untuk mengelakkan perkara itu berterusan. – HARAKAHDAILY 13/9/2023