KUALA LUMPUR: Dalam al-Quran jelas menyebut Allah Taala dan Rasul SAW memerangi memerangi mereka yang mengamalkan riba.
Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, dalam al-Quran disebut sumber riba perlu dihapuskan kerana adalah haram di sisi agama.
Begitu juga katanya, tindakan yang melanggar perjanjian royalti petroleum antara Petronas dan negeri-negeri pengeluar minyak merupakan perbuatan haram.
“Sedangkan perjanjian itu termaktub Akta Kemajuan Petroleum. Akta itu diwujudkan selepas wujud pertikaian sehingga Perdana Menteri, Tun Abdul Razak mewujudkan akta berkenaan.
“Draf perjanjian disediakan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan Tengku Razaleigh Hamzah,” katanya ketika perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke 12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Tuan Guru Abdul Hadi berkata, perjanjian yang ditandatangani antara Petronas dan negeri disyaratkan diagih lima peratus hasil petroleum kepada negeri pengeluar.
Oleh itu, menurutnya pelanggaran yang berlaku terhadap perjanjian itu boleh disifatkan sebagai haram kerana mengambil hasil hak milik kerajaan negeri.
“Akta Kemajuan Petroleum menyebut hasil yang ditemui sama ada di darat dan laut menjadi hak negeri cuma diberi kepada Petronas bagi mengurusnya.
“Ia perlu diagih 5 peratus kepada negeri daripada jumlah pengeluaran. Haram apabila ada pihak melanggar perjanjian itu.
“Jangan berlaku double standard hasil-hasil yang dipungut di negeri-negeri tidak diberi semula kepada negeri terbabit,” ujarnya.
Sementara itu, beliau yang juga Presiden PAS berkata, kenaikan harga barangan keperluan harian yang membebankan rakyat perlu diberi keutamaan oleh kerajaan.
Namun, katanya kerajaan sekarang memberi penekanan kepada aspek lain. – HARAKAHDAILY 13/9/2023