Semangat merdeka disemai di PASTI Al-Hidayah Padang Kota

Murid-murid Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Al-Hidayah Padang Kota, Kangat, Perlis ceria menggayakan kostum Hari Kebangsaan masing-masing.
- Advertisement -

KANGAR: Semangat cintakan negara yang pada tahun ini bakal disambut menjelang 31 Ogos ini bagi meraikan kemerdekaan kali ke-66, tidak terkecuali perlu disemai dalam kalangan kanak-kanak seawal usia pra-sekolah.

Ketua Guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Al-Hidayah Padang Kota, Noraini Haron berkata, sambutan hari bersejarah itu yang diadakan setiap tahun agar semangat mencintai negara dapat disemai sejak dari kecil itu turut diterap dalam kalangan murid-murid di situ.

- Advertisement -

“Sambutan Hari Kebangsaan bertujuan supaya anak-anak ini mengenal erti merdeka dan menghargai kemerdekaan yang dikecapi negara hingga hari ini.

“Walaupun mungkin mereka masih belum faham apa itu merdeka tetapi sekurang-kurangnya mereka dapat merasai nikmatnya berada di tanah air ini,” katanya.

Beliau berkata demikian di sini, hari ini, yang menyaksikan seramai 38 pelajar PASTI berkenaan mengayakan kostum Hari Kebangsaan masing-masing sambil mengibarkan bendera Malaysia dengan wajah ceria.

Ada yang bertengkolok, bersampin, tidak terkecuali yang berbaju kurung bertemakan warna  jalur gemilang.

“Sungguhpun sambutan pada hari ini nampak kecil, tetapi usaha ini pastinya akan melekat di memori mereka supaya setiap kali merdeka kita wajar menghargainya.

“Setiap dari kita wajib mencintai tanah air sendiri di mana ia tempat kita dilahirkan dan membesar seterusnya menjadi pemimpin suatu hari nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/8/2023

- Advertisement -