Fakta-fakta PRU ke-15 Negeri Terengganu

- Advertisement -

PENGGAL ke-15 ini adalah kali kedua Sidang DUN Terengganu akan berlangsung tanpa pembangkang. Pertama kali terjadi ialah pada Penggal ke-5, tahun 1978, di mana BN menyapu bersih semua 28 kerusi DUN tahun itu, termasuk juga tujuh kerusi Parlimen.

● PAS pertama kali pada PRU15, menang di dua DUN kubu kuat Umno, Seberang Takir dan Telemung, setelah sebelum ini, hanya dua DUN ini sahaja yang masih gagal ditawan PAS semenjak keduanya diperkenalkan dalam PRU.

● ADUN Wanita Pertama yang pernah memenangi kerusi DUN Terengganu ialah Teh binti Hassan di DUN Chukai dari Perikatan dalam tahun 1969. Manakala ADUN Ladang, Zuraida Md Noor menjadi ADUN wanita pertama dari PAS yang menang kerusi DUN. Sementara itu, Khadijah Sidek calon wanita dari PAS yang memenangi kerusi Parlimen iaitu Parlimen Dungun pada PRU-1, 1959.

● Datuk Sabri Alwi calon BN Ladang pula menjadi calon lelaki pertama dari Perikatan dan BN semenjak 1959, kalah kepada calon wanita, Hajjah Zuraida Md Noor di DUN Ladang. 

● Majoriti terbesar yang diperolehi PAS ialah sebanyak 18,637 oleh YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah di Wakaf Mempelam. Kedua, YB Dr Ustaz Muhammad Khalil Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi di Batu Buruk 17,668 dan Rhu Rendang yang diwakili oleh Dato’ Seri Dr  Ahmad Samsuri Mokhtar majoritinya 17,295. 

● Tidak pernah sebelum ini majoriti DUN di Terengganu oleh mana-mana parti mencapai lima angka, tetapi kali ini ada 12 DUN yang dimenangi PAS, merekodkan majoriti melebihi 10,000 undi. 

● YB Ustaz Wan Sukairi juga sudah dua kali memegang rekod majoriti terbesar iaitu pertama kali pada tahun 2018 dengan jumlah 7,378 di DUN yang sama. Sementara dari BN yang pernah memegang rekod majoriti tertinggi ialah Dato’ Rozi Mamat mewakili Telemung dalam PRU-13 iaitu sebanyak 6864 undi. 

● Sebanyak separuh atau 16 DUN mengatasi jumlah majoriti yang terbesar 7,378 dalam tahun 2018 dalam sejarah PRU DUN Terengganu semenjak kali pertama diperkenalkan pada tahun 1959. DUN-DUN itu ialah Permaisuri (7525), Tepuh (10,890), Buluh Gading (10,858), Bukit Tunggal (7721), Wakaf Mempelam (18,637), Batu Buruk (17,668), Alur Limbat (12,622), Bukit Payung (10,956), Rhu Rendang (17,295), Pengkalan Berangan (8306), Manir (11,260), Rantau Abang (12,922), Sura (13,848), Paka (11,876), Chukai (8,106) dan Air Putih (10,332). 

● Peratusan kenaikan majoriti tertinggi yang dicatatkan ialah di DUN Ajil dengan 1,571.5 peratus iaitu daripada majoriti empat undi kepada 6,286.

● Semua 22 kerusi yang dimenangi PAS pada tahun 2018, mencatatkan peningkatan majoriti dengan yang terendah ialah DUN Bandar sebanyak 294 undi (PRU14 = 2,091, PRU15 = 2,384). 

● Ini adalah kali pertama PAS Terengganu berjaya menang bagi dua penggal berturut-turut. Sebelum ini hanya separuh penggal 1959-1961, dan sepenggal 1973-1977 (bersama Umno) dan 1999-2004 bersama Barisan Alternatif. 

● DUN yang mencatatkan peningkatan jumlah undi yang tertinggi berbanding 2018 ialah Air Putih dengan kenaikan sebanyak 8,681 undi (PRU14 = 12,985; PRU15 = 21,666).

● DUN Manir dalam PRU15 ini, memperolehi peratusan undi tertinggi iaitu 85.90 peratus bersamaan 13,471 undi daripada keseluruhan undi yang dikira 15,952 undi.

MOHD NASIR ABDULLAH
15 Ogos 2023 – HARAKAHDAILY 15/8/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -