Tegas, proaktif tangani ajaran sesat Ahmadi

Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menggesa kerajaan perlu tegas dan proaktif tangani ajaran sesat agama ‘Ahmadi’ yang disebarkan sejak Ramadan lalu.

Ketua DUPP, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, perkembangan mutakhir ajaran Ahmadi yang kononnya sebagai agama keamanan dan cahaya sudah begitu pesat berkembang di negara luar, sehingga mendorong ramai umat Islam menuruti ajaran songsangnya. 

- Advertisement -

“DUPP bimbang dengan perkembangan ajaran-ajaran sebegini khususnya terhadap umat Islam di negara ini kerana mereka memberikan tafsiran yang menyeleweng daripada agama. 

“Cedukan agama dan syariat yang diadun dengan kepercayaan yang palsu dan tersasar menjadikan masyarakat lebih mudah untuk terpengaruh,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menyatakan bahawa kerajaan perlu bertindak pantas kerana penyebaran kesesatan ini lebih cepat berkali ganda di zaman edan seiring dengan kepesatan media sosial.

Beliau berkata, perkara ini memerlukan kepekaan di setiap negeri untuk menilai semula enakmen jenayah syariah negeri masing-masing dalam usaha mengekang penyebaran ajaran sesat. 

“Penguatkuasaan undang-undang yang berkesan dan efektif amat diperlukan bagi membendung penularan ajaran yang menyongsang daripada agama seperti ini. 

“DUPP juga menyeru umat Islam di seluruh negara supaya tidak termakan dengan dakyah palsu dan songsang yang dibawa ajaran berkenaan. 

“Berpautlah pada ulama yang sebenar dalam memahami agama dan bukannya pada cerita-cerita penglipur lara yang direka di sebalik nama kesesatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/5/2024

- Advertisement -