Henti kempen politik ugut, menakutkan bukan Melayu

Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
- Advertisement -

PERKEMBANGAN fasa-fasa akhir kempen sempena Pilihan Raya Negeri pada kali ini memperlihat beberapa pemimpin daripada Pakatan Harapan (PH) telah mula menggunakan kempen berbaur ugutan dan menakut-nakutkan bukan Melayu kepada PAS.

- Advertisement -

Kenyataan Hannah Yeoh di hadapan orang bukan Melayu yang mengatakan sekiranya menukar Menteri Besar Selangor kepada calon daripada PAS dan menyingkirkan PH dalam pilihan raya adalah tindakan menghukum diri sendiri serta menghukum anak dan cucu di Selangor merupakan ucapan yang amat jahat serta mengancam keharmonian kaum di Malaysia.

Kempen sebegini mengulangi sekali lagi kempen politik tidak sihat yang telah dibuat oleh Lim Guan Eng yang mengatakan sekiranya gelombang hijau menang, maka akan dirobohkan kuil-kuil.

Saya mengambil kesempatan pada hari ini, mengajak dan menasihati para pemimpin politik untuk tidak menggunakan kempen politik ugut sebegini, berkempenlah secara sihat dan matang dalam memastikan keharmonian kaum dapat dijaga.

Saya juga berharap rakyat Malaysia tidak termakan dengan politik sebegini yang sudah pasti merendah-rendahkan intelektual rakyat dan tidak madani. Budaya politik kuno sebegini wajar dinoktahkan.

Di bawah pentadbiran Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Negeri Terengganu, hubungan kaum dijaga dengan harmoni, kebajikan rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan warna parti terus dijamin tanpa ada sebarang diskriminasi. Hak semua rakyat ini telah dijamin oleh Perlembagaan dan menjadi tuntutan dalam Islam.

Akhirnya, saya mengajak semua pihak agar jadikan Pilihan Raya Negeri ini sebagai satu referendum untuk kita menoktahkan budaya politik ugut dan menakut-nakutkan rakyat ini.

YAB DATO’ SERI DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Menteri Besar Terengganu
Naib Presiden PAS – HARAKAHDAILY 8/8/2023

- Advertisement -