AKSB sedia hadapi pertambahan pengguna 12 Ogos

- Advertisement -

TUMPAT: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) membuat persediaan awal memandangkan akan berlaku pertambahan jumlah pengguna dengan kepulangan perantau menjelang 12 Ogos ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Dato’ Sr Azami Mohd Nor berkata, persediaan itu bagi memastikan keperluan bekalan air bersih kepada rakyat mencukupi.

Katanya, AKSB dengan kerjasama kerajaan negeri menyediakan hampir 35 lori tangka air untuk menghantar bekalan air bersih kepada pengguna di lokasi yang bermasalah.

“AKSB juga menambah lebih 5 lori tangki untuk memastikan bekalan air bersih diterima penduduk yang tinggal di kawasan tekanan rendah.

“InsyaAllah, menjelang PRN ini persiapan dibuat rapi dan sebarang aduan masalah air akan segera diselesaikan,” katanya ketika ditemui selepas melawat tapak projek Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Laut, hari ini.

Sementara itu, Pengurus Besar AKSB Dr Nazmi Ghazali Azmi berkata, pihaknya memberi kerjasama penuh bagi memastikan bekalan air bersih dapat dimanfaatkan semua pengguna di Kelantan.

Katanya juga projek-projek pembinaan dan penambahan paip bagi melancarkan saluran air bersih giat dijalankan AKSB yang melibatkan kos RM2 juta. – HARAKAHDAILY 8/8/2023

- Advertisement -