Masyarakat Siam sambut baik ceramah dianjur PN

- Advertisement -


TUMPAT: Sokongan masyarakat Siam Kelantan kepada PERIKATAN NASIONAL (PN) di Kelantan dijangka meningkat daripada lima peratus kepada 30 peratus.

- Advertisement -

Setiausaha Badan Perhubungan PN Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, PN yakin masyarakat Siam akan memberi sokongan penuh kepada PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.

Katanya, di seluruh Kelantan dianggar jumlah penduduk keturunan Siam seramai 10,000 orang.

“Kita mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat Siam seperti di Jubakar, Mentuan, serta Kubang Panjang di Tumpat.

“Dan pada masa sama dijangka kawasan lain yang tidak pernah menang seperti di Simpangan dan Teluk Jering bakal dimenangi PN.

“Penerimaan masyarakat Siam bertambah baik memandangkan sebelum ini untuk kita mengadakan ceramah dan perjumpaan pun agak sukar, namun sekarang mereka menyambut baik,” katanya di sini.

Menurutnya berdasarkan perkembangan itu dijangka jumlah undi kaum Siam kepada calon PN akan bertambah berbanding pada Pilihan Raya Umum lepas.

Kata beliau masyarakat bukan Islam diajak mengenali PAS melalui kempen PAS For All yang digerak sejak sekian lama, dan sekarang sebahagian mereka mulai memahami.

“Lagi pun kita sentiasa terbuka dalam menjalinkan hubungan ukhuwah dengan rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/8/2023

- Advertisement -