Petugas PN tak layan provokasi sepupu Mohd Amar

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: Pakatan Harapan (PH) yang bertindak membuka Markas PRN parti itu di pekarangan kediaman calon PERIKATAN NASIONAL (PN) N.07 Panchor, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah hanya membangkitkan semangat para penyokong PN.

Jentera PN bahkan langsung tidak melayan provokasi murahan dan gimik untuk meraih perhatian tersebut yang diketuai sendiri oleh sepupu Mohd Amar iaitu Muhamad Fekri Muhamad Yusoff, 62.

Sebaliknya, ia menimbulkan semangat lebih luar biasa dalam kalangan anggota jentera dan penyokong PN hingga semakin rancak dan kerap hadir ke Markas PRN PN membantu kerja-kerja berkaitan.

Muhamad Fekri mendirikan markas di situ kerana mendakwa ia tanah milik keluarga, sedangkan ahli-ahli keluarga lain menyatakan tidak timbul lagi pemilikan tersebut kerana keseluruhan kawasan sudah diambil kerajaan.

Kerana dakwaan itu, Muhamad Fekri bertindak membuka Markas PRN PH itu di tapak binaan yang telah dirobohkan dan hanya terdapat sisa-sisa binaan lama di mana hal itu turut mendapat perhatian banyak media.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Salleh berkata, tidak berbangkit isu kononnya Muhamad Fekri beralih sokongan kepada PH, kerana dia sememangnya penggerak PH sejak PRU14 dahulu.

Bahkan menurutnya, Muhamad Fekri bukan pengundi di N.07 Panchor, sebaliknya sejak PRU14 dahulu beliau serta sebahagian penduduk telah dipindahkan ke Machang untuk mengundi Dato’ Ahmad Jazlan Yaakub di N.34 Temangan.

“Dia merupakan anak buah Dato’ Jazlan sudah sekian lama. Jadi, tidak timbul isu yang dia baru dan tiba-tiba nak sokong PH,” ujar Mohd Salleh menyangkal dakwaan kononnya Fekri menyokong PAS pada PRU14 lalu tetapi kali ini menyokong PH. 

Tambah beliau lagi, markas tersebut hanya dimasuki oleh kebanyakannya orang luar yang bukan penduduk kampung tersebut kerana jelas mereka itu langsung tidak mengenalinya. 

“Mana tidaknya, walaupun dia (Fekri) berada di kampung itu, tetapi dia sendiri mengundi di tempat lain. Markas (PH) yang dibuka sebenarnya membangkitkan semangat penyokong-penyokong PN.

“Ramai keluar tiap-tiap malam pergi ke markas (PN) untuk menggantung bendera dan kerja-kerja lain. Terima kasih kepada Muhamad Fekri yang membuka markasnya, secara tidak langsung menambahkan semangat kami,” katanya. 

Mohd Salleh turut mengakui, kewujudan markas PH itu ternyata menjadi suatu cabaran kepada orang-orang kampung dan diyakini semangat mereka pada kali ini jauh lebih meriah daripada sebelumnya. – HARAKAHDAILY 10/8/2023

- Advertisement -
- Advertisement -