KUALA TERENGGANU: “Saya fikir banyak sebab yang munasabah untuk kita semua terus mengekalkan kerajaan negeri sedia ada pada hari ini,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Dr Alias Razak.
Menurutnya, kerajaan negeri ditadbir oleh seorang teknokrat yang professional, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Beliau juga seorang yang tenang, tak gopoh dan tak bergaduh dengan sesiapa. Ini sangat penting untuk menjamin kestabilan dan keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri,” ujarnya pada sidang media di Pusat Media PAS Terengganu, di sini hari ini.
Di samping itu, katanya kerajaan negeri telah menggariskan hala tuju jangka panjang yang jelas sehingga ke tahun 2030 dengan pelbagai program dan projek telah direncanakan untuk merealisasikan negeri ini sebagai negeri yang ‘Maju, Berkat, Sejahtera’.
Kerajaan negeri juga, ujarnya memberikan komitmen yang penuh untuk melaksanakan dan menjayakan kesemua manifesto dan tawaran pilihan raya.
“Ini menunjukkan sikap amanah yang tinggi dengan janji yang telah dibuat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.
Selain itu, tambahnya kerajaan negeri dibarisi oleh para pemimpin yang bersih; bebas rasuah dan salah guna kuasa yang sehinggi kini tiada seorang pun yang didakwa atau disabitkan dengan apa-apa salah laku.
Beliau berkata, kerajaan negeri telah menunjukkan keupayaan untuk memacu prestasi yang tinggi dalam pelbagai segmen sama ada berkaitan pentadbiran, ekonomi dan sosial.
Menurutnya, maklumat terperinci mengenainya boleh dirujuk dalam laporan-laporan yang diterbitkan sebelum ini.
“Justeru, saya mahu mengambil kesempatan pada hari ini untuk menyeru dan merayu kepada semua pengundi untuk memangkah PAS pada hari esok sekali gus mengekalkan kerajaan negeri sedia ada pada hari ini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 11/8/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!