Anak ahli Umno ajak ibu bapa sokong PN

Datuk Idris Ahmad
- Advertisement -

PORT DICKSON: Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata sebahagian ahli Umno kini telah sedar bahawa parti itu telah tersasar dari perjuangannya.

- Advertisement -

Menurutnya, ini menatijahkan fenomena perubahan yang sedang berlaku apabila mereka mula beralih menyokong PERIKATAN NASIONAL.

“Hari ini kita tengok masa untuk rakyat bersama-sama dengan PERIKATAN NASIONAL. Orang-orang Melayu hari ini sudah lagi tidak mengharapkan Umno, terutamanya rakan-rakan dari kalangan ahli Umno.

“Mereka ni pun sudah tahu terutama Umno dipimpin oleh Zahid Hamidi hari ini. Mereka sudah dapat lihat Umno bukan lagi tempat kepada mereka untuk bergantung,” ujarnya.

Katanya, ini jelas ketara pada masa ini apabila berlaku situasi di mana anak-anak kepada ahli Umno yang tinggal dan bekerja di bandar mula berkempen kepada ibu bapa mereka agar beralih sokongan kepada PN.

Ini menurut beliau, kerana Umno pada masa ini bukan lagi Umno dahulu yang banyak membantu orang Melayu sehingga orang tua-tua dahulu lebih sayang kepada Umno.

“Sebab tu kita tak boleh marahlah kepada orang tua-tua yang mengharapkan Umno pada ketika itu menjadi payung kehidupan mereka.

“Tetapi hari ini berlainan apabila Umno sudah lari daripada dasar perjuangan mereka,” ujarnya lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata demikian semasa berucap di dalam program ceramah Gelombang Nismilan Kito Ubah yang berlangsung di Markaz PAS Teluk Kemang, di sini malam tadi.

Turut berucap ialah Pengerusi PN Pahang yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Bakri Jamaluddin dan Ahli Parlimen Ketereh Mejar Jeneral (B) Dato’ Khlir Mohd Nor. – HARAKAHDAILY 25/7/2023

- Advertisement -