Andalusia Travel tawar pakej Rahmah RM5,590

Ida Riswana (dua dari kanan) bertukar dokumen perjanjian dengan Norazura (dua dari kiri) sambil disaksikan Ibrahim (tengah) pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (Mou) antara Andalusia Travel dan Air Arabia di Kuala Lumpur pada hari ini, 10 Julai 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/J. Kemala)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia Travel) dengan kerjasama Air Arabia kini tampil menawarkan pakej umrah serendah RM5,590 menerusi Pakej Rahmah 1.0 bermula bulan ini sehingga April tahun depan.

Pengarah dan Penasihat Undang-Undangnya, Ida Riswana Idris berkata, Andalusia Travel merupakan syarikat pengendali umrah dan haji tempatan pertama mengadakan kerjasama dengan Air Arabia yang merupakan syarikat penerbangan kos rendah pertama dan terbesar di Timur Tengah serta Afrika Utara.

- Advertisement -

“Syukur alhamdullillah, ini merupakan kali pertama Andalusia dapat menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Air Arabia,” katanya.

Menurut beliau, MoU tersebut bertujuan untuk memeterai pembelian hampir 5,000 tempat duduk umrah serta pelancongan dari Air Arabia  bernilai hampir RM15 juta.

Tambahnya, Air Arabia bukan penerbangan kos rendah yang biasa kerana mempunyai ruangan kaki yang cukup luas dan selesa seperti penerbangan komersial yang lain serta hidangan percuma sebanyak dua  kali percuma sepanjang penerbangan ulang alik dari Kuala Lumpur ke Jeddah atau Madinah.

“Bukan itu sahaja, Air Arabia turut membekalkan perkhidmatan wifi percuma yang sememangnya jarang-jarang ada dalam penerbangan lain yang membolehkan jemaah berhubung dengan keluarga walaupun ketika dalam penerbangan.

“Kami percaya Air Arabia bakal pesat membangun di rantau Asia tidak lama lagi kerana perkhidmatannya menjangkau 170 destinasi di 50 buah negara di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penerbangan Air Arabia Bagi Musim Umrah 1445H di Hotel Seri Pacific, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Andalusia Travel, Ibrahim Mat Sin dan Pengurus Serantau Air Arabia Malaysia, Norazura Zaimi.

Ida Riswana menjelaskan lagi bahawa kerjasama antara kedua-dua pihak membolehkan Andalusia Travel dapat mengurangkan kos pakej umrah sehingga bermula daripada harga RM6,990.

“Andalusia Travel juga dapat menawarkan Pakej Rahmah 1.0 di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan harga tawaran pakej umrah serendah RM5,590 untuk individu yang menunaikan umrah buat pertama kali mengikut tarikh yang ditetapkan,” katanya.

Beliau memberitahu, dengan menyasarkan seramai 300 jemaah umrah bagi satu musim, tempat duduk bagi bulan ini dan Ogos untuk Pakej Rahmah 1.0 sudah habis dijual manakala 50 peratus tempat duduk pada bulan September telah mula dibeli oleh bakal jemaah.

“Buat masa ini, pakej tersebut akan dibuka pada bila-bila masa iaitu bermula bulan September khususnya kepada jemaah yang menunaikan umrah buat pertama kalinya,” katanya.

Sementara itu, Ibrahim berkata, Andalusia Travel turut menaja kira-kira 500 asnaf pada setiap musim bagi merealisasikan impian mereka menunaikan ibadah umrah di Makkah secara percuma.

“Pemilihan amat ketat akan dibuat oleh pihak berkuasa seperti Pejabat Agama Daerah, Pejabat Menteri Besar Negeri dan Kementerian Pelancongan bagi menyaring mereka yang benar-benar layak sahaja.

“Antara syaratnya adalah pendapatan bawah RM800, berusia 60 tahun ke atas, belum pernah pergi umrah dan anak-anak tidak mampu hantar mereka.

“Sememangnya pemilihan itu bukan daripada pihak Andalusia Travel sendiri. Ini merupakan sebagai tanda kesyukuran atas rezeki Allah SWT dan merupakan satu hadiah istimewa dan berharga buat mereka khas daripada Andalusia Travel,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/7/2023

- Advertisement -