Malaysia tiada tempat untuk perkauman dan ekstremis

SALAH satu punca Peristiwa Hitam 13 Mei sejurus selepas PRU ke-2 pada bulan Mei 1969 menurut laporan yang terkandung dalam buku ’13 May Tragedy’, keluaran Majlis Keselamatan Negara atau National Operations Council, Oktober 1969 adalah kempen provokasi dan perkauman yang digunakan oleh sesetengah pimpinan rasis dari parti-parti politik tertentu.

Sepanjang tempuh kempen pimpinan dan petugas parti-parti politik yang tidak bertanggungjawab telah memainkan sentimen perkauman dan agama sehingga mencetuskan perasaan tidak selesa yang membawa kepada ketegangan antara kaum. 

Kerana itu sepatutnya menuju ke Pilihan Raya Negeri yang ke-15 tahun 2023 ini, hampir 66 tahun kita Merdeka, sepatutnya semua pihak telah mempelajari dari kesilapan yang lampau dan tidak lagi mengulanginya sehingga melangkaui batas sempadan yang boleh mencetuskan ketegangan.

Sesungguhnya gelanggang demokrasi mengizinkan kita tertakluk kepada undang-undang dan peraturan negara untuk berkempen, membawa tuntutan perjuangan masing-masing, mengkritik tetapi tidaklah sampai mengadu-domba, menghasut dengan membangkitkan isu perkauman dan agama yang cukup sensitif buat rakyat dalam negara kita.

Selepas tragedi malang 13 Mei dilahirkan ideologi negara diberi nama Rukun Negara bagi membina semula negara atas teras perpaduan dan kedaulatan undang-undang serta sikap hormat-menghormati sesama rakyat. 

Rakyat seakan mengangkat peristiwa malang ini sebagai satu iktibar tidak lagi mengizinkan ianya diulangi dengan bersetia berpegang teguh pada prinsip-prinsip Rukun Negara.

Parti-parti politik datang dan pergi, dengan pelbagai dasar dan prinsip perjuangan namun ternyata semua matang dan sedar akan tanggungjawab masing-masing memelihara dan mempertahankan kedaulatan negara dan ketenteramannya.

Hari ini puluhan parti-parti politik berdaftar secara sah dan menjalankan aktiviti masing-masing mengikut peraturan dan undang-undang yang ada. Ada parti yang lebih tua dari kemerdekaan negara dan ada yang baru wujud.

Rakyat Malaysia yang majmuk terbukti matang dan menerima kehadiran kerencaman pelbagai ideologi dan perjuangan politik dalam negara dengan masing-masing sedar pilihan di tangan mereka, menyokong atau menolak sesuatu parti dalam proses demokrasi.

Malangnya walau pernah berlaku tragedi hitam 13 Mei, walau negara telah hampir tujuh dekad Merdeka, masih ada pemimpin parti yang tergamak membawa isu-isu sensitif, seolah buta dan pekak akan sejarah demi kerana mahu mempertahankan kuasa dan melebarkan sokongan masing-masing.

Terbaru Pengerusi DAP Lim Guan Eng secara terang-terangan (sebagaimana dilaporkan portal Malaysia Now, 9 Julai 2023) dilaporkan berkata:

Pengerusi DAP Lim Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘Gelombang Hijau‘ daripada bertapak di negeri itu, sambil mendakwa ia akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan, lapor China Press.

Akhbar berbahasa Cina itu memetik bekas ketua Menteri Pulau Pinang itu sebagai berkata, jika “Gelombang Hijau tidak senang dengan tokong yang mereka lihat, mereka akan memusnahkannya”.

“Tetapi selagi Pulau Pinang masih kekal sama, rakyat masih boleh bersembahyang kepada dewa dan Buddha,” kata Lim ketika menghadiri sebuah acara keagamaan sempena Jelajah Raja Naga Putih Tian Fu Gong di Jelutong semalam.

Kenyataan ini cukup tidak bertanggungjawab dan terang-terangan cuba menghasut dan mengadu-domba antara rakyat berbilang kaum dan agama dalam negara.

Portal itu melaporkan lagi: “Lim menyifatkan sesiapa di Pulau Pinang yang menyokong ‘Gelombang Hijau’ sebagai ‘pembelot dan pemberontak’ yang akan dilaknat sehingga ‘meninggalkan reputasi busuk selama beribu-ribu tahun’.

Lim turut memberi amaran Pulau Pinang bakal dilenyapkan di bawah pemerintahan ‘Gelombang Hijau‘ dan dijadikan sebahagian daripada Kedah.

Bagaimana DAP boleh melahirkan pimpinan yang berani mengeluarkan kenyataan ekstrem sebegini, melainkan terbukti memang DAP sebuah ektremis yang sanggup melanggar undang-undang dan peraturan demi mahu menjamin survival politiknya.

Benar sebelum ini DAP menguasai sokongan dan undi dari masyarakat bukan-Melayu khasnya rakyat berbangsa Cina dari beberapa siri Pilihan Raya Umum. Kebanyakkan parti yang bernaung bawah Pakatan Harapan, khasnya PKR dan PAN, memang mengharapkan sokongan ini dari DAP untuk menjamin kemenangan mereka.

Kerana itu apabila DAP melihat ada ancaman terhadap sokongannya sepatutnya ia memperbaiki kelemahannya tetapi tidak. Ia memilih untuk mengambil jalan pintas dengan menghasut masyarakat ini dengan harapan mereka akan menolak dan tidak mengundi PERIKATAN NASIONAL.  Mereka melabel sesiapa yang berhasrat mengundi PN (khasnya di kalangan penyokong teras mereka iaitu kaum Cina) dalam PRN enam negeri Ogos ini sebagai pembelot dan pemberontak.

Ini samalah dengan tindakan provokasi pimpinan yang terlibat mencetuskan Peristiwa 13 Mei dulu sebagaimana dalam laporan di awal artikel ini.

Rakyat Malaysia tidak memerlukan pimpinan dan parti ekstrem seumpama ini. Yang kita perlukan adalah melahirkan sebuah masyarakat yang bertoleransi, hormat-menghormati antara satu dan lain, hidup dalam suasana aman dan sentosa, bukannya mencari dan memperbesarkan perbezaan sesama kita. 

Tidak ada mana-mana parti atau pimpinan di Malaysia yang mahu mengancam dan merampas hak mana-mana kaum dan agama dalam negara. Sejarah membuktikan umpamanya sepanjang pemerintahan PAS di Kelantan, Terengganu dan kini Kedah dan Perlis, tiada rakyat bukan Islam yang dipaksa menukar agama. Tiada rumah ibadat yang mematuhi undang-undang dan peraturan termasuklah masjid, surau, gereja, kuil atau tokong yang dirobohkan. Tiada masyarakat minority yang didiskriminasi semata-mata atas isu perbezaan kaum atau agama.

Dari mana Lim Guan Eng dapat maklumat ini, selain terbukti beliau memang penabur fitnah dan penghasut yang mengancam kestabilan dan ketenteraman masyarakat berbilang kaum dan agama dalam negara.

Tempoh berkempen untuk PRN enam negeri ini belum pun bermula tapi sudah ada bibit-bibit hasutan dan fitnah yang tersebar. Pihak bertanggungjawab perlu menghentikan orang seumpama ini, agar Malaysia kekal bebas dan aman. Biar rekod kita menjalankan PRU secara adil dan bersih terpelihara dan tidak tercemar dengan kehadiran pemimpin seperti Guan Eng ini.

Selamat mengundi dan pastikan kita tolak pimpinan yang jahat, rasis dan ekstrem seperti Guan Eng.

ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR
Setiausaha
PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 10/7/2023

Advertisement