DAP akan terperangkap sentimen sendiri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: DAP menggunakan sentimen ‘Gelombang Hijau’ untuk menakut-nakutkan kalangan rakyat bukan-Muslim, demikian kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sedangkan ujar beliau, keputusan PRU15 lalu telah menunjukkan kebimbangan itu tidak wujud dalam kalangan rakyat bukan-Muslim terutama di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Menurutnya, ini kerana tidak berlaku diskriminasi kaum dan agama, bahkan rakyat pelbagai kaum hidup harmoni dan dididik untuk menjadi warganegara dengan nilai-nilai yang baik di negeri tersebut.

Sebaliknya DAP kata beliau, terperangkap dengan idea mewujudkan ketakutan menggunakan ‘Gelombang Hijau’ itu kerana apabila rakyat melihat realiti, mereka mendapati ia tidak benar sama sekali.

Ustaz Tuan Ibrahim memberikan contoh kehidupan masyarakat bukan-Muslim di Kelantan dari aspek agama, kegiatan ekonomi dan perniagaan, kemasyarakatan dan perpaduan yang wujud. 

“Sebenarnya dia (DAP) takut sekarang ni. Saya ingat DAP ni dia mula risaulah sebab dia tengok Pulau Pinang pun tak berapa nak selamat. Goncang, goncang! Padahal tak ada ‘hijau’ pun situ. (Yang ada) Perikatan Nasional di Pulau Pinang,” ujarnya.

Kelantan juga menurutnya, tanpa sembunyi mengisytiharkan secara terbuka dasar ‘Membangun Bersama Islam’ ketika mana dunia membangkitkan ketakutan kepada Islam atau Islamofobia.

“Takut apa dengan Islam? Agama yang paling adil kepada bukan-Islam, agama yang menjaga perpaduan hingga Nabi pesan siapa-siapa menyakiti orang bukan-Islam yang baik dengan Islam sama menyakiti Rasulullah. 

“Saya beritahu kawan-kawan saya bukan Islam. Saya kata, kita dalam PAS ini wajib berlaku adil itu bukan kerana saya orang Melayu, tapi kerana tuhan saya suruh. Allah suruh saya berlaku adil pada orang Islam dan bukan-Islam. 

“Saya kena adil bukan kerana saya pemimpin Malaysia, tapi kerana Allah suruh saya berlaku adil. Jadi bila kita declare ‘Membangun Bersama Islam’ (bermakna) kita nak beritahu rakyat jangan takut dengan Islam. 

“Sebab Islam bukan nak menganiaya siapa-siapa. Islam bukan nak mendiskriminasi siapa-siapa. Islam tidak pernah memaksa akidah pun. Tak pernah paksa orang bukan-Islam untuk masuk Islam,” ujarnya.

Jelasnya, keindahan Islam mesti disampaikan dan dilaksanakan kerana ianya tanggungjawab walaupun usaha itu seperti melawan arus dan fobia yang ditimbulkan terhadap Islam. Ahli Parlimen Kubang Kerian itu memberikan contoh sekatan ke atas judi dan arak, di mana walaupun dari segi politik menyebabkan kehilangan sokongan tetapi kerugian dan porak-peranda diakibatkan keduanya lebih besar.

Sedangkan kerajaan bertindak seperti itu jelas beliau, umpama seorang ayah kepada anaknya yang mesti mencegah dan menghalang keburukan dari menimpa ahli keluarganya sendiri.

Jelas beliau, apabila Kerajaan bertindak sedemikian dan membetulkan polisi, maka akan luruslah juga akidah dan akhlak umat, termasuk kepada sistem politik, sosial, ekonomi dan lain-lain. – HARAKAHDAILY 7/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -