‘Double standard’ terbaharu Anwar Ibrahim

- Advertisement -

PERDANA Menteri ke-10 kita sekarang, dikenali sebagai seorang yang hebat suatu ketika dahulunya. Hebat beliau dari banyak segi, hampir tidak terkalahkan oleh sesiapapun akan karismatik beliau sebagai seorang lelaki kiriman tuhan dari Ceruk Tokkun, Permatang Pauh kepada rakyat Malaysia. Kata Feng Shui Cina, DS Anwar mempunyai tanda-tanda nasib baik atau ong. Ini yang diberitahu oleh rakan Cina saya berdasarkan kepercayaan mereka. Ternyata secara kebetulan, beliau benar-benar bernasib baik dilantik menjadi Perdana Menteri setelah berpakat dengan golongan yang bermasalah dengan kes rasuah, iaitu anak murid yang juga musuh beliau, bagi beliau menentang rasuah.

Namun cerita yang telah diriwayatkan terdahulu itu sebenarnya hanyalah dongengan semata. Ia bagaikan narkoba yang membuatkan rakyat kecanduan mendambakan kehandalan beliau memerintah. Sebaik sahaja memasuki kantor, satu persatu kepalsuan terserlah oleh beliau dan pasukannya sendiri. Ada janji yang tidak ditunaikan, ada cakap yang tidak dibikinkan, ada tuduhan yang tidak dibuktikan, ada perbalahan yang sengaja diadakan, ada jiwa yang gagal dizahirkan kebesarannya sebagai pemimpin negara. Begitulah beliau sebenarnya.

Beliau banyak double standard dalam menentusahkan sesuatu masalah. Jika Ringgit jatuh di zaman dahulu, ia kerana kebodohan wazir-wazir negara. Namun di zaman beliau kejatuhan nilai Ringgit membawa kebaikan kepada negara, ada penyangak mata wang dari kalangan pembangkang yang berjual beli Ringgit dengan jumlah yang besar bagi menjatuhkan kerajaan beliau. Jika harga barang naik di zaman dahulu, ia adalah kerana mamak bendahara gagal mengawal para kapitalis. Namun di zaman beliau harga barang naik, ini adalah kerja-kerja dengki kartel. Ribuan lagi alasan yang berbeza atas masalah yang sama.

Musuh Allah

Terbaharu Perdana Menteri ke-10 (PMX) menyerang PAS dengan menggunakan isu musuh Allah yang disebut oleh Ustaz Zainul Asri kerana mahu menjatuhkan Kedah. Kata PMX dalam satu video, PAS mesti bertanggungjawab dengan kenyataan Ustaz Zainul Asri, bekas Dewan Ulamak PAS Kedah. Sambil beliau menambah serangannya, Ustaz Zainul Asri juga pada suatu masa pernah mengatakan Nabi Adam turun di Gunung Jerai. Kata PMX, ini mereka-reka sejarah Islam dan ia menyeleweng dari cerita sebenar. Namun pelik, semua perkara, mesti hendak dikaitkan dengan PAS.

Ustaz Zainul Asri bukan lagi pimpinan PAS dan sudah meminta maaf atas ucapan beliau mengenai musuh Allah. PAS berserah kepada pihak berkuasa, jika ada berlakunya kesalahan dalam ucapannya sila ambil tindakan. Kita ada undang-undang. Sudah banyak laporan polis dibuat atas kes ini. Manakala bagi dakwaan Ustaz Asri berkaitan Nabi Adam turun di Gunung Jerai, bukankah itu sepatutnya pakar-pakar sejarah yang mengambil tempat untuk membetulkannya? Kenapa mesti PAS? PAS bukan persatuan sejarah.

Betulkan sejarah Nabi Adam dan Kedah

Jadi apa double standard PMX dalam hal ini? Pertama secara kebetulannya, seorang individu yang didakwa sebagai ahli PKR dua hari lalu, Zaki Yamani telah mendoakan kematian kepada Presiden PAS. Adakah itu diajar dalam Islam? Apa tindakan PMX? Beliau hanya marahkannya dan minta bertanggungjawab. Sehingga tulisan ini ditulis, dikatakan tweet itu masih tidak diturunkan. Malulah arahan Perdana Menteri dipekakkan ahli. Apa guna ada kuasa, kalau ahli biasa buat bodoh sahaja dengan amaran ketua? 

Kenapa tidak dipecat sahaja Zaki atau bawakan pegawai beliau ke muka pengadilan, atau buat laporan polis? Sedangkan dalam kes Ustaz Zainul Asri yang beliau kata tidak menepati Islam, segera PMX paksa PAS bertindak walaupun Ustaz Zainul Asri bukan pimpinan PAS. Sama dengan kes PMX diugut. Dilaporkan kepada wartawan, bukan polis. Tak ke pelik itu?

Kedua, Lim Guan Eng dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, bersungguh menafikan sejarah yang Pulau Pinang adalah milik Kedah yang berlaku hanya kira-kira 200 tahun lalu. Mereka telah cuba menidakkan sejarah. Isu ini telah dibetulkan oleh pakar sejarah, malahan Sultan Kedah juga mahukan hal ini diketahui rakyat, apa sebenarnya yang berlaku. Sultan Kedah tidak murka kepada Menteri Besar Kedah, pakar sejarah bersetuju dengan Menteri Besar Kedah, tetapi kenapa PMX tidak marahkan atau membuat laporan terhadap cubaan menyeleweng sejarah oleh Lim dan Chow? Sebaliknya PMX pula yang menyerang Menteri Besar Kedah kerana Ustaz Zainul Asri menceritakan peristiwa Nabi Adam puluhan ribu tahun lampau. 

Saya percaya, double standard adalah amalan kepada PMX, sambil menuduh orang lain yang jahat atas isu yang sama, tetapi OK bagi kumpulannya. Bak kata almarhum Presiden PAS dahulu, Ustaz Fadzil Noor dalam pencerahan beliau terhadap kelakuan Umno, dia yang memukul, dia yang menangis. Sekarang nampaknya benar kata-kata almarhum dan diamalkan oleh musuh PAS. Saya tidak berniat mahu menyebut perangai kaum mana, tetapi orang yang faham maksud almarhum Ustaz Fadzil Noor, mereka akan tahu kelakuan siapa sebegitu.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 3/7/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -