‘Simple majority’: Signal PN ambil alih Selangor

Himpunan rakyat Selangor yang menghadiri Ceramah Perdana Jelajah Selangor Baharu Kita Bangkit Perikatan Nasional Selangor 2023 di IDCC Shah Alam, Selangor pada 24 Jun 2023. (FOTO: Twitter Pemuda PAS Selangor @DPPMalaysia)
- Advertisement -

Kejayaan PERIKATAN NASIONAL (PN) menawan enam kerusi Parlimen Selangor, kubu kuat Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum yang ke-15 (PRU-15) lalu bukan sekadar fantasi tetapi adalah realiti.

Realiti yang tidak mustahil bakal menjadi tsunami dalam membentuk ‘Selangor baharu’ andai PN diberi mandat oleh rakyat Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Ini kerana angka tidak pernah menipu tetapi fakta sahih bahawa pengundi di Selangor kini semakin terbuka akal dan fikiran masing-masing terhadap parti gabungan manakah yang selayaknya menguruskan aspek kehidupan dan masa depan mereka.

Jangan tak tahu, Selangor kini dibelenggu isu kos sara hidup yang tinggi, polemik pendaftaran Sekolah-sekolah Islam Persendirian (SIP) di beberapa PBT Selangor, bil elektrik yang naik mendadak, pencemaran air dan kilang-kilang haram yang masih banyak beroperasi.

Itu belum lagi masalah sampah, isu banjir besar terutamanya di Shah Alam yang mana projek penebatan masih belum dimulakan, isu peniaga kecil di jalanan dan banyak lagi menjadikan rakyat Selangor kini memerlukan kepada tampuk pemerintahan yang baharu sebagai tempat mengadu dan menyelesaikan masalah mereka.

Namun, apabila PH (asalnya parti Pakatan Rakyat) yang kekal memerintah Selangor sejak 2008, kali ini bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berdepan cabaran PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 kelak, maka adakah rakyat Selangor tidak berasa janggal?

Persoalannya, kenapa perlu bergabung dengan Umno-BN dalam PRN 2023 andai PH sudah sedia utuh di Selangor sejak 2008? 

- Advertisement -

Itulah juga persoalan yang kini bermain dalam kalangan pengundi di Selangor dalam menentukan sama ada PH mampu mencapai sasaran majoriti dua pertiga bagi menerajui Selangor atau sebaliknya pada PRN kali ini.

Justeru, apakah pilihan mutakhir rakyat Selangor dalam PRN 2023? Adakah masih PH yang tidak mempunyai sebarang penyelesaian yang kukuh dalam menyelesaikan masalah ekonomi yang kini membelenggu rakyat di negara ini, termasuk di Selangor, merujuk kepada ucapan Ketua Pemuda PN Selangor, Ustaz Sukri Omar dalam Program Jelajah Selangor Baharu Kita Bangkit! Shah Alam di kawasan parkir Flat Seksyen 18 18/47, di Shah Alam malam tadi. (‘Kerajaan tiada penyelesaian kukuh masalah ekonomi rakyat’)

Alternatif rakyat Selangor sekarang ini sudah tentulah PN yang semakin jelas menunjukkan signal bahawa ia adalah ‘parti rakyat’ untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama dalam erti kata sebenar.

Sementelah, PN kini bergabung dengan bekas Menteri Besar Selangor yang cukup berpengalaman dalam mendasari masalah rakyat Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang kini adalah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor.

Lebih mantap, PN juga kini meraih sokongan mantan ‘top gun’ Umno yang pernah berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk rakyat marhaen Selangor terutamanya, Tan Sri Noh Omar yang merupakan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor.

Sehubungan itu, ikuti wawancara Pengarang Berita HarakahDaily, YUSMAN AWANG dengan Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Selangor, ROSLI JUSOH yang mengupas mengenai situasi pertarungan antara PN dan PH yang bakal berlangsung dalam gelanggang PRN 2023 kelak.

HARAKAHDAILY: Sejauh mana benar akan kenyataan bahawa rakyat Selangor yang berjumlah kira-kira  tujuh juta  dari segi populasi, ingin menukar tampuk pemerintahan negeri itu daripada Pakatan Harapan (PH)  kepada PERIKATAN NASIONAL (PN) melalui PRN kali ini?  

ROSLI JUSOH: Siapa sangka dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu, PN berjaya menawan 6 kerusi parlimen, di kubu kuat PH.

Kita boleh lihat pola pengundi rakyat Selangor berdasarkan keputusan PRU 15 yang lalu yang menyaksikan peratusan pengundi dan sokongan rakyat Selangor kepada PN meningkat sebanyak sekali ganda dari 14% ke 28% dari jumlah keseluruhan pengundi Selangor. 

Data ini memberi signal awal perubahan sokongan dan penolakan terhadap PH dan seterusnya memberi peluang kepada PN untuk menang dalam PRN 2023 dan seterusnya memerintah Selangor.

Boleh saudara komen tentang dua isu berkaitan perasaan tidak puas hati rakyat Selangor sejak akhir-akhir ini seperti yang dilaporkan oleh HarakahDaily, iaitu isu 20,000 pelajar Islam terancam hilang tempat belajar di Selangor (disebabkan masalah pendaftaran Sekolah-sekolah Islam Persendirian atau SIP di beberapa PBT di Selangor) dan orang ramai, khususnya di Selangor yang terkejut apabila bil elektrik rumah mereka naik secara mendadak.

Kebelakangan ini, kita melihat trend peningkatan ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah aliran agama menandakan keyakinan mereka terhadap sistem pendidikan di sekolah agama ini dan mahukan anak-anak mereka membesar dalam biah (suasana) solehah. 

Sewajarnya, kerajaan negeri Selangor melalui pihak berkuasa tempatan (PBT )dan agensi berkaitan meraikan permintaan ini dengan memudahkan urusan berkaitan pendaftaran sekolah agar pendidikan anak-anak ini dapat diteruskan dan berjalan tanpa gangguan. 

Isu pendidikan ini tidak seharusnya dipolitikkan dan masa depan anak-anak ini tidak wajar diperjudikan oleh kerana kebencian sesetengah individu terhadap parti yang kian mendapat sokongan dari kalangan kaum Melayu dan Bumiputera.

Berkaitan bil elektrik yang naik mendadak, yang rata-rata masyarakat awam melahirkan rasa tidak puas hati, kita mengharapkan ada satu penjelasan yang tuntas dari pihak berwajib; adakah ada peningkatan dari tarif elektrik, atau ada kesilapan dari sudut pengiraan dan sebagainya. 

Yang pastinya, sebelum PRU15, PMX (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) berdegar-degar mahu kurangkan tarif elektrik, tetapi hari ini sebaliknya berlaku. 

Dengan kos sara hidup yang semakin tinggi kesan dari inflasi dan kenaikan harga barang, pastinya ia bukan hanya menjejaskan golongan B40, bahkan seluruh rakyat Malaysia, khususnya di Selangor.

Sejauh mana saudara melihat kekuatan benteng pertahanan PH di SELANGOR dalam PRN 2023, berdasarkan kenyataan media  Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari baru-baru ini  menyatakan beliau yakin PH mampu mengekalkan kedudukan majoriti dua pertiga atas dakwaan bahawa bahawa  ia disokong oleh prestasi pentadbiran PH di Selangor, khususnya dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini?

Gelombang yang diterjemahkan dalam PRU15 yang lalu cukup memberi gambaran awal kepada sokongan rakyat terhadap PN. 

Walaupun PN berjaya menawan enam  kerusi Parlimen di Selangor, pimpinan dan jentera di setiap peringkat tidak boleh berasa selesa dan perlu bekerja lebih keras untuk menarik sokongan pengundi Melayu yang kecewa terhadap tindakan UMNO yang menggadaikan prinsip ‘No Anwar No DAP’ demi kepentingan peribadi semata-mata. 

Saya cukup yakin dengan usaha yang dilakukan oleh jentera ditambah dengan sokongan pengundi Melayu khususnya anak-anak muda, PN mampu mendapatkan sekurang-kurangnya ‘simple majority’ bagi mengambil alih kerajaan Negeri dari PH.

Boleh saudara komen tentang kenyataan Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri sebelum ini  yang berkata: “Sekiranya PN berhasrat nak tawan Selangor, mereka kena ada model kerajaan yang baik di Kelantan atau Terengganu tetapi setelah memerintah sekian lama tiada perkara yang hebat dapat ditunjukkan.”

Sesiapa pun boleh bagi kenyataan (sebegitu). Rakyat dah boleh menilai dengan bijak. Di Terengganu misalnya, bagaimana kejayaan kerajaan Terengganu di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar  berjaya selesaikan hutang yang ditinggalkan oleh BN pada 2019 sebanyak RM472 juta atau 64% dari RM733 juta kepada hanya RM267 juta. 

Ini bukan jumlah kecil. Satu angka yang besar yang menunjukkan kecekapan mentadbir dalam keadaan pelbagai program kebajikan rakyat diperluaskan. Manifesto 20 tawaran disempurnakan sepenuhnya. 

Di Kedah, jumlah pelaburan lebih dari RM68 billion pada tahun 2022. Ini tidak termasuk serahan geran milik tanah lebih dari 7,200 kepada penduduk Kedah yang mana permohonannya telah memakan puluhan tahun. 

Bila ambil alih, boleh selesaikannya. Inilah model kerajaan yang baik. Less talk, less politic but delivered. Figures will not lie. Terlalu banyak jika ingin disebutkan.

Rakyat Selangor yang berhimpun dalam Ceramah Perdana Jelajah Selangor Baharu Kita Bangkit anjuran Perikatan Nasional baru-baru ini.

Mohon saudara komen kenyataan Menteri Besar Selangor bahawa PH Selangor tidak  memandang rendah usaha dan keyakinan PN yang mahu merampas negeri itu pada PRN 2023, susulan PN kini meletakkan tanggungjawab kepada Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk memberikan negeri itu kepada gabungan parti berkenaan sebagai ‘hadiah’ dalam PRN 2023 kelak?

Kenyataan Menteri Besar Selangor untuk tidak memandang rendah terhadap kebolehan PN adalah sangat wajar berdasarkan dinamika politik dan pola pengundi semasa yang memberi kelebihan kepada PN. 

Rata-rata komen dan luahan rakyat belum melihat satu pembaharuan mahupun kejayaan selepas PH mengambil alih Kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh rakyat bawahan. 

Kos sara hidup terus menjadi isu utama yang masih belum diselesaikan oleh kerajaan selain kejatuhan teruk mata wang Ringgit Malaysia (RM) beberapa minggu kebelakangan ini. 

Simple (Senang sahaja), kerajaan PMX tiada formula, in fact (faktanya) tiada hala tuju yang jelas, ke mana ekonomi negara ingin di bawa. Sekadar slogan sahajalah.

Di Selangor pula, kita melihat tiada pembaharuan yang signifikan yang dilakukan oleh Menteri Besar Selangor sekarang ini. 

Isu-isu pencemaran air, kilang haram yang masih banyak beroperasi, isu sampah; dan sehingga kepada isu-isu berkait dengan integriti termasuk projek tanpa tender  Gerbang Maritim Selangor (SMG) bernilai RM700 juta yang diberikan kepada syarikat Landasan Lumayan Sdn. Bhd. yang mana Menteri Besar Selangor sebagai salah seorang Pengarahnya, projek pembangunan semula Stadium Shah Alam dengan kos RM787 juta menerusi land swap exercise, dan pelbagai isu yang melingkari tatakelola pentadbiran kerajaan PH. 

Selain itu, program-program rakyat hanyalah menyambung program pembangunan ‘Merakyatkan ekonomi Selangor’ yang telah lama dimulakan oleh mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. 

Rakyat ingin melihat satu program pembangunan menyeluruh termasuk melibatkan rumah mampu milik bukan mampu tengok, penyelesaian konkrit terhadap isu pencemaran air dan sebagainya. 

Belum nampak hingga ke hari ini. Rakyat Selangor memerhati dan atas kegagalan ini, mereka bersedia untuk memilih PN dan inilah yang merisaukan PH.

Pada PRN kali ini bakal berlaku pertembungan dua pertembungan dua penjuru antara PN dan PH, berbanding tiga penjuru dalam PRU15 antara PN, PH dan UMNO, justeru adakah itu satu kelebihan atau ‘senjata baharu’ buat PN dalam merobohkan benteng pertahanan PH di Selangor dalam PRN 2023?

Kita perlu faham denyut nadi pengundi teras khususnya UMNO dan DAP. Adalah sesuatu yang sangat janggal bagi pengundi UMNO untuk memangkah DAP dan begitulah sebaliknya jika berlaku pertembungan dua penjuru. 

PN mempunyai peluang yang cerah untuk mendapat undi dari kalangan ahli UMNO yang kecewa mahupun ahli DAP yang rasa ditipu oleh pemimpin mereka. 

Pastinya penghijrahan ‘otai-otai’ UMNO seperti Tan Sri Noh Omar, Tan Sri Annuar Musa dan ‘top gun’ yang lain mampu mempengaruhi pola pemikiran pengundi teras ini. Kita yakin, pengundi UMNO, pengundi atas pagar dan anak-anak muda akan mengundi PN.

Pada pandangan saudara, sejauh manakah impak UMNO dan DAP dalam membantu mempertahankan benteng pertahanan PH Selangor dalam PRN 2023?

Bagi saya, kehadiran UMNO dalam gabungan PH memberi kelebihan kepada PN berdasarkan situasi terkini dan gelombang penolakan rakyat khususnya orang Melayu terhadap UMNO. 

UMNO bukan lagi platform untuk orang Melayu bergantung selepas keputusan-keputusan yang dibuat tidak memberikan kepentingan kepada kaum Melayu dan bumiputera. 

Di peringkat DAP pula, bukan mudah untuk ahli DAP memberi undi kepada UMNO setelah tohmahan dan cacian yang dilemparkan kepada mereka.

Selepas menguasai Sabak Bernam, Sungai Besar dan Tanjong Karang; serta Hulu Selangor (oleh PAS), justeru apakah antara parlimen yang PN yakin dapat menembusi pertahanan PH dalam PRN 2023?

Saya optimis bahawa kita berpotensi besar menang di semua 33 kerusi majoriti 60% pengundi Melayu dan memberikan saingan yang sengit untuk DUN-DUN yang lain. 

Kita akui, satu tugas yang berat untuk menembusi kerus-kerusi majoriti bukan Melayu, tetapi berdasarkan situasi semasa khususnya kegagalan kerajaan PMX dalam melunaskan janji-janji mereka walaupun selepas 6 bulan berkuasa, rakyat akan menghukum mereka dalam PRN kali ini.

Boleh saudara komen tentang kenyataan Ketua Pemuda PN Selangor, Sukri Omar, bahawa PN Selangor yakin mampu menarik sokongan sekurang-kurangnya 20% pengundi bukan Melayu untuk menawan Selangor pada PRN 2023. Justeru, apakah usaha atau jentera gerak gempur PN khususnya peranan PAS sendiri dalam memerangi bagi meruntuhkan benteng pertahanan PH di Selangor dalam PRN 2023?

Ya. Sebagaimana yang saya sebutkan tadi, pengundi-pengundi Cina dan India telah mula menunjukkan rasa tidak puas hati secara terbuka terhadap kerajaan PH-BN hari ini. 

Ini tidak termasuk dengan beberapa survey yang dibuat oleh badan bebas yang menunjukkan telah mula berlaku perubahan sokongan di kalangan pengundi bukan Melayu. 

Justeru, sasaran untuk mendapatkan sokongan 20% adalah sesuatu yang mampu dicapai.  Jentera PN sentiasa bersiap siaga dan tidak mustahil untuk PN Selangor membuat kejutan merampas beberapa kerusi non-Malay (bukan Melayu) berdasarkan situasi semasa yang ditunjukkan oleh kaum Cina dan India di dalam Jelajah Perikatan Nasional beberapa hari kebelakangan ini.

Azmin di samping (dari kiri) Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin. (FOTO: HARAKAHDAILY/Aisamuddin Yusri)

Apakah pesanan saudara buat PH dan rakyat Selangor untuk PRN 2023 kelak?

Kepada PH, saya menyeru supaya menghormati prinsip demokrasi dalam PRN ini. Jangan hanya sekadar bercakap sahaja. 

Sebagai contoh, bila permohonan PN untuk mengadakan ceramah mega PN di Padang Astaka, Tanjong Karang telah ditolak oleh pihak berwajib awal bulan ini dengan alasan yang tidak masuk akal, ia memberikan bayangan jelas prinsip demokrasi ini tidak dihormati. Jangan salah gunakan kuasa, kita bertanding di medan PRN secara gentleman.

Kepada seluruh rakyat Selangor, saya menyeru supaya membuat penilaian yang bijak dengan memilih kerajaan yang berintegriti dan stabil, bukan hanya slogan tetapi melaksanakannya dalam pentadbiran. 

Walk the talk. Kejayaan pentadbiran PN di bawah Abah (Tan Sri Muhyiddin Yassin) walaupun berdepan dengan krisis pandemik Covid-19 telah menunjukkan kemampuan PN mentadbir negara. 

Begitu juga dengan kejayaan negeri-negeri yang dipimpin PN, sebagaimana yang saya sebutkan tadi, walaupun ditekan di segenap penjuru. 

PN khususnya PAS pernah berada dalam kerajaan lebih dari 10 tahun bermula 2008 bersama dengan Tan Sri Khalid Ibrahim membangunkan negeri Selangor dengan pelbagai program yang tidak pernah diadakan sebelum itu. 

Dengan segala kelebihan yang ada di negeri Selangor dari sudut infra dan sumbernya, PN amat berkeyakinan mampu untuk mentadbir jauh lebih baik yang akan memberikan kebaikan kepada rakyat secara keseluruhannya. PN Best. – HARAKAHDAILY 27/6/2023

- Advertisement -