LKAN: Terbongkar rahsia di sebalik pemerintahan DAP?

- Advertisement -

SIDANG Dewan Rakyat minggu lalu menyaksikan gegak-gempita khususnya oleh dua isu yang menghangatkan persidangan, iaitu isu Pulau Pinang milik Kedah dan isu bahas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021.

Ringkasnya, sebagaimana telah diterangkan oleh beberapa pihak (rujuk Lampiran 1, 2 dan 3) dari aspek amalan kebiasaan Sidang Parlimen serta peruntukan Perlembagaan, tidak pernah dalam sejarah LKAN itu dibahaskan.

Motif pihak kerajaan mahu mengadakan perbahasan tersebut disyaki mempunyai muslihat, antaranya mempolemikkan LKAN 2021 yang mana merujuk kepada zaman pentadbiran Kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN).

Juga ‘menghalang’ pembentangan pihak pembangkang yang difahamkan daripada Tan Sri Shahidan Kasim (PN-Arau) sahaja terdapat 16 usul di mana tentunya sangat menggerunkan barisan kerajaan.

Selain mungkin untuk menutup kelemahan pihak kerajaan kerana dikatakan ada petugas Parlimen yang memaklumkan bahawa terdapat banyak Rang Undang-undang (RUU) dan lain-lain patut dibentangkan.

Sekurang-kurangnya tiga sebab ini sudah menunjukkan betapa pihak kerajaan yang ditunjangi Pakatan Harapan – Barisan Nasional (PH-BN) telah menunggangi Parlimen bagi kepentingan politik sempit mereka.

Jika PH-BN galak sangat hendak bahas LKAN di Parlimen melibatkan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan itu, baik dipanjangkan secara terbuka di luar kepada penganjuran wacana atau forum.

Bentang dan ulas mengenai LKAN negeri-negeri di mana tentu sekali boleh nampak dan dinilai prestasi kewangan pentadbiran kerajaan dari semua parti politik yang mengetuai pemerintahan di negeri.

Ada PAS-PN, PKR-PH, Umno-BN, DAP-PH dan lain-lain supaya rakyat tahu mana sebenarnya yang lebih telus, cekap dan berintegriti, berbanding punyai keraguan dan ketidakcekapan pengurusan.

Beza Kelantan – Pulau Pinang

Antara yang boleh dibandingkan adalah Kelantan yang ditadbir oleh PAS berbanding Pulau Pinang diterajui DAP di mana selama ini pun bumi Serambi Makkah itu sering diperolokkan oleh pelbagai pihak.

LKAN 2021 merekodkan laporan bahawa pendapatan Kelantan adalah sebanyak RM773.48 juta yakni RM81.24 juta lebih tinggi berbanding dengan Pulau Pinang cuma RM692.24 juta.

Kelantan berbelanja RM725.87 juta, sekali gus memiliki lebihan (surplus) yang merupakan untuk tahun keenam berturut-turut, berbanding belanja Pulau Pinang RM836.48 juta mencatat defisit bagi beberapa tahun berturutan.

Menariknya, di sebalik penyata Kelantan lebih baik itu, kedengaran kecurigaan di pihak-pihak tertentu, adakah penyata Pulau Pinang itu wujud ‘muslihat’ yakni disyaki berlakunya ‘smart accounting’?

Di mana mungkin sebahagian hasil negeri atau keuntungan telah dimasukkan atau diagihkan melalui syarikat atau sub-kontraktor tertentu menjadi perolehan kaya-raya untuk mereka?

Adalah tidak munasabah Pulau Pinang sebagai negeri maju dipenuhi industri serta menjadi pintu keluar-masuk eksport-import, mencatat rekod yang lebih rendah dibandingkan Kelantan.

Apatah lagi kedudukan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pulau Pinang berada di tempat pertama berbanding Kelantan hanya di kedudukan kesembilan dan sering diejek pula sebagai negeri yang tidak punyai apa-apa.

Sewajarnya perkara inilah yang perlu dibahaskan jika benar mahu dilihat ketelusan dan prestasi serta unjuran bagi perancangan dan pembangunan untuk masa hadapan negeri khususnya dan negara amnya.

Malang sekali, semua yang cuba dimomokkan sebagai propaganda dan tekanan politik itu tidak lebih ‘indah khabar dari rupa’ dan seperti ‘meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri’.

Pentadbiran PH-BN membuka pekung dan melondehkan aib sendiri terutama DAP yang telah tiga penggal menjadi kerajaan di Pulau Pinang tetapi rupanya bukan sahaja tiada pencapaian membanggakan, bahkan terdapat banyak noda hitam.

Pulau Pinang di bawah DAP

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam ceramah PN di Permatang Pauh menyatakan bahawa tiada monumen dibangunankan sebagai petunjuk kemajuan dibawa pemerintahan DAP di Pulau Pinang.

Kata beliau, pembangunan Pulau Pinang yang nampak pada hari ini kebanyakannya berlaku di bawah kepimpinan GERAKAN selama 39 tahun iaitu 21 tahun semasa Tun Dr Lim Chong Eu dan 18 tahun ketika Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Malah bidas Sanusi, DAP bukanlah parti yang bersih di mana setakat menerajui Pulau Pinang hingga kini, pemimpinnya telah terbabit pertuduhan rasuah melibatkan kes terowong, banglo dan lain-lain. (baca lanjut di Lampiran 4)

Sanusi juga pernah mendedahkan percaturan muslihat yang disebutnya ‘grand designed’ mewujudkan ‘The Greater Penang’ di mana memberi kelebihan sangat banyak kepada Pulau Pinang berbanding negeri Utara lain. 

Katanya, semua prospek pembangunan dan rancangan masa depan serta kebijakan dibawa untuk menjadikan Pulau Pinang pusat pertumbuhan yang akan membawa limpahan ke seluruh kawasan Utara.

Oleh itu hakikatnya, pertumbuhan ekonomi dan pencapaian KDNK Pulau Pinang yang diperintah DAP ketika ini adalah disumbangkan daripada negeri-negeri Utara lain kerana segalanya terpaksa melalui lapangan terbang dan pelabuhan di Pulau Pinang.

Hal ini menunjukkan bahawa pemerintahan DAP di Pulau Pinang tidak memiliki pencapaian gemilang melainkan menumpang dan mengalirnya hasil dari pihak lain, tetapi juga membongkar sisi khianat pemerintahan Umno-BN.

Iaitu negeri-negeri Melayu lain seperti Perlis, Kedah, Perak dan Terengganu serta bahagian Utara Perak seperti diabaikan atau dibiarkan tanpa perancangan pembangunan semaju yang sepatutnya.

‘Sisi hitam’ pemerintahan DAP?

Malang lain yang terdampak daripada pemerintahan DAP juga adalah kepentingan rakyat semakin terhakis, sebaliknya ditatang pihak lain di mana mereka itu mungkin ‘pembiaya’ nafsu parti tersebut.

Atas nama pembangunan yang mewah dan mahal, rakyat Pulau Pinang sendiri terusir kerana tidak mampu dan di bawah Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dicurahkan lagi dengan peruntukan besar.

Sedangkan sepertimana juga semasa pemerintahan Umno-BN, peruntukkan ke negeri-negeri Melayu tidak diberikan sewajarnya; bererti episod menganaktiri dan kezaliman PH dianggotai PKR, DAP dan PAN sama sahaja.

Di Perak yang kini Umno-BN bersama DAP-PH, berlaku laporan Tanah Rizab Melayu (TRM) semakin kurang dan tanah-tanah dimiliki Melayu-Bumiputera telah beralih tangan kepada bukan-Melayu.

Sedangkan di negeri-negeri ditadbir PAS iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, kepentingan dan jaminan ke atas rakyat terutama menerusi pemilikan tanah dan status TRM terjaga dengan baik.

Lebih dikhuatirkan bukan sahaja ‘penindasan bersistematik’ yang dilakukan pemerintahan DAP ke atas rakyat di Pulau Pinang, tetapi juga perkembangan jenayah di negeri tersebut.

Media baru-baru ini melaporkan bahawa Ketua Polis Pulau Pinang diugut dengan kertas mayat dan tangkapan 13 kumpulan Ah Long yang menimbulkan persoalan sama ada wujud ‘sisi hitam’ pemerintahan DAP?

Apakah elemen-elemen gangsterisme dan jenayah seperti itu merupakan ‘sokongan’ yang berada di keliling pinggang pemerintahan DAP atau ianya membiak lantaran korupsi oleh kepimpinan DAP sendiri?

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 16/6/2023

Lampiran 1: https://harakahdaily.net/index.php/2023/06/07/bahas-lkan-luar-dari-amalan-biasa-parlimen/ 

Lampiran 2: https://harakahdaily.net/index.php/2023/06/07/bahas-lkan-janggal-dan-aneh-di-era-ph-bn/ 

Lampiran 3: https://harakahdaily.net/index.php/2023/06/07/apa-motif-kerajaan-ph-bn-mahu-bahas-lkan/ 

Lampiran 4: https://harakahdaily.net/index.php/2023/06/04/dap-tidak-bersih-gagal-bawa-kemajuan-untuk-rakyat/ 

- Advertisement -
- Advertisement -