‘Anwar cakap tak serupa bikin’ – Ustaz Idris

- Advertisement -

PERMATANG PAUH: Enam negeri akan mengadakan PRN berasingan daripada PRU15 yang lalu ternyata menampakkan hikmah tersurat dan tersirat serta mempunyai makna besar terhadap landskap politik negara.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menyatakan demikian ketika berucap pada Himpunan PN BEST Peringkat Pulau Pinang yang juga Pelancaran Jentera Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL (PN) di Kubang Semang, di sini malam tadi.

“Antaranya ialah kita dapat lihat bagaimana kelaku ditunjukkan pemimpin-pemimpin Umno. Dulu mereka mengatakan ‘wallahi, wabillahi, watallahi saya tidak akan bersama-sama (Dato’ Seri) Anwar (Ibrahim) dan juga DAP, Pakatan Harapan (PH)’.

“Tetapi selepas pilihan raya, kita telah pun dapat jawapannya. Yang kedua, ada juga orang penuh pengharapan kepada Anwar menjadi Perdana Menteri. Setiap kali pilihan raya dia asyik-asyik PM tepi.

“Maka pada kali ini dia telahpun menjadi Perdana Menteri, alhamdulillah. Mereka yang hari itu memberi sokongan kepada PH, dengan harapannya ialah untuk berikan percubaan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

“Maklumlah, hampir 24 tahun jawatan itu sangat-sangat diidamkan. Dulu PH memerintah 22 bulan apa yang dibuat? ‘Yalah dulu saya bukan Perdana Menteri’ (kata Anwar). (Tetapi) Sekarang ini sudah 6 bulan dia menjadi Perdana Menteri.

“Rupa-rupanya apabila dia naik Perdana Menteri banyak perkara-perkara yang kita dapat tengok antaranya ialah dia bercakap tak serupa bikin,” bidas Ustaz Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai.

Kesali beliau, kini keadaan negara menjadi semakin ‘berat’ misalnya ekonomi di mana tukaran matawang Ringgit jatuh teruk berbanding Dolar Amerika Syarikat di mana keadaan itu lebih teruk dari ketika dua Perdana Menteri sebelumnya.

“Bayangkan semua (ketika itu) kena lockdown. Kilang ditutup, perniagaan tak boleh berniaga, hotel ditutup, semua. Tetapi waktu itu kita dapat lihat pemimpinnya memikirkan macam mana untuk nak memikirkan masalah rakyat,” imbas beliau.

Anwar juga katanya, pernah menempelak Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hingga menyindir pemakaian serban tetapi berpakat dengan Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaliknya yang terjadi selepas PRU15 membuktikan Anwar dan Zahid sebenarnya mempunyai Pakatan di belakang, malah sehingga kini segala janji seperti menurunkan harga petrol tidak berlaku di bawah Anwar.

Begitu juga bidasnya, komitmen Anwar untuk tidak berlaku lantikan politik dan mengumumkan projek-projek ketika lawatan, tetapi semua itu akhirnya berlangsung termasuk dilakukan oleh Anwar sendiri. – HARAKAHDAILY 4/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -