Liga Super: JDT kekalkan rekod tanpa kalah

Foto daripada Facebook JOHOR Southern Tigers.
- Advertisement -

GEORGE TOWN: Skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mengekalkan rekod bersih apabila melakarkan kemenangan dalam kesemua 13 perlawanan selepas menewaskan Penang FC, 2-0, di Stadium Bandaraya, di sini malam tadi.

- Advertisement -

Ketua jurulatih skuad JDT FC Esteban Solari berkata beliau sangat berpuas hati dengan prestasi permainan kesemua anak buahnya yang telah beraksi dengan baik dan bersungguh-sungguh malam tadi.

“Saya berasa bangga dengan pemain kerana ia bukan suatu perlawanan yang mudah dengan pihak lawan. Pihak lawan adalah pasukan yang sukar…mereka mempunyai pemain yang berkualiti, namun pasukan kami berjaya menewaskan mereka.

“Ia adalah perlawanan yang sukar kerana hujan lebat dan penyokong di sini yang begitu teruja dengan aksi permainan bola sepak ini,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu, malam tadi.

Katanya, skuad Harimau Selatan itu akan berusaha untuk mengekalkan prestasi dalam meraih mata bagi perlawanan yang akan datang menentang Terengganu FC.

Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih Penang FC Manzoor Azwira Abd Wahid berkata walaupun tidak berjaya meraih mata dalam aksi liga malam tadi, beliau tetap berpuas hati dengan permainan berkualiti anak buahnya ketika berdepan pendahulu Liga Super malam tadi.

“Kita kalah…tapi positifnya ialah kesungguhan dan sikap tidak mahu kalah pemain kita yang cuba bersaing dengan pasukan yang berkualiti dalam Liga Malaysia,” katanya.

Skuad Harimau Selatan yang berada di tangga pertama liga akan menentang Terengganu FC pada 9 Jun ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin manakala pasukan Harimau Kumbang yang kini berada di tangga kesembilan liga dijadualkan menentang KL City FC pada 8 Jun ini di Stadium Bandaraya. – BERNAMA

- Advertisement -