Saarani dan ribut di khemah perpaduan

- Advertisement -

DISANGKA YB setaraf Hulu Kinta saja yang kalut dengan kenyataan YB Razman, rupanya Menteri Besar pun goyang. Kenyataan umum Razman dilihat menggegarkan khemah ‘perpaduan’ di Perak. Walaupun dilihat Saarani berhimpun di hadapan wartawan bersama namun pastinya ramai yang menduga apa yang dibuat Saarani sebelum menghimpunkan penyokongnya?

Apakah Saarani menyediakan ‘rotan’ sebelum bertanya setiap ADUN? Apakah Saarani mendapatkan ‘surat sokongan’ daripada ADUNnya atau dengan penuh yakin menghimpunkan ADUN depan wartawan. Hanya Saarani dan rakan DAPnya ketahui.

Apa yang jelas ternyata Saarani bimbang dengan kenyataan spontan Razman. Bimbang tidak datang jika beliau yakin penuh dengan ADUN-ADUN-nya. Yang pasti, keraguan itu ada malah mungkin menggetarkan lututnya.

Alasan bahawa kenyataan Razman menyebabkan pelabur tidak datang adalah helah yang dibawa Saarani mengalihkan kegagalannya memimpin Perak. Saarani adalah orang yang bertanggungjawab menimbulkan situasi tidak stabil Kerajaan Perak ketika move menukar Menteri Besar peja. Malah move beliau bersama ADUN Umno berlaku selepas perubahan kerajaan di luar pilihan raya. 

Situasi di Perak sebenarnya masih tidak stabil. Ia bukan angkara pembangkang tetapi pertembungan dalaman yang tidak dapat diselesaikan. Pelantikan ketua kampung khasnya di kampung tradisional Melayu dikatakan belum dapat diselesaikan. Bayangkan sehingga kini kampung Melayu tiada ketua. Kampung Cina telah selesai awal. Apa sebenarnya masalah yang melingkari Kerajaan Perak?

Saya tidak bicarakan mengenai nasib orang Melayu dalam menguasai Majlis Kerajaan Tempatan. Majlis Kerajaan Tempatan khasnya di kawasan bandar telah hilang penguasaan Melayu. Malah ada berita dan sumber menyampaikan bahawa kuasa YDP Majlis telah dialihkan kepada Mesyuarat Majlis Kerajaan. Ada juga sumber menyebut mengenai seorang YDP Majlis yang di’petisejukkan’ kerana menyanggah kehendak Ahli Parlimen. Kebenaran itu semua dinanti setidak-tidaknya penjelasan Menteri Besar dalam sidang DUN yang sedang berlangsung.

Banyak lagi gelora yang sedang berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Perak. Itu belum mengambil kira keresahan kakitangan kerajaan dengan tekanan yang mereka hadapi. Saarani sebagai Menteri Besar nampaknya hilang kawalan terutama dalam menguruskan pentadbiran kerajaan termasuk kuasa dari Kementerian. 

Apa pilihan Saarani? Terus menafikan gelora dan taufan dalam khemah perpaduannya dengan menganggap ianya riak di cangkir? Seperti pelepah kelapa, bila sudah buruk, ia akan gugur sendiri tanpa perlu kita menyentapnya. Rasanya dah tak lama.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik Pesuruhjaya PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 23/5/2023

- Advertisement -
- Advertisement -