Kalimah Allah: Keputusan Kabinet 1986 liputi seluruh negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) memohon penjelasan Perdana Menteri mengenai keputusan Kabinet pada 19 Mei 1986 berhubung penggunaan kalimah Allah.

Beliau berkata, keputusan Kabinet yang pernah dianggotai oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PH-Tambun) ketika itu meliputi seluruh negara dan bukan hanya terhad di Sarawak.

- Advertisement -

Malah, katanya rampasan lapan cakera padat (CD) menjadi punca kes Jill Ireland yang berlaku di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang dan bukan di Sarawak.

“Keputusan Kabinet 19 Mei 1986 meliputi seluruh negara dan tidak khusus untuk sarawak sahaja, rampasan lapan CD menjadi punca kes Jill Ireland ini di bawah Mahkamah Tinggi Malaya, bukannya Borneo.

“Penghakiman di Mahkamah Tinggi pada 10 Mac 2021 tidak langsung merujuk kepada empat kalimah seperti Allah, Baitullah, Kaabah dan Solat secara khusus untuk Sarawak, namun seluruh negara,” katanya.

Namun Anwar menjelaskan kerajaan pimpinannya akan memperbaiki kelemahan yang berlaku ekoran percanggahan peraturan yang dibuat oleh kerajaan lalu, Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, kerajaan berpegang kepada keputusan Majlis Raja-Raja menetapkan penggunaan kalimah itu dilarang sama sekali di semenanjung, sebaliknya kelonggaran bersyarat di Sabah dan Sarawak.

“Itu keputusan dahulu, bukan dibuat oleh kerajaan sekarang, jadi apa yang perlu dibuat adalah untuk kerajaan memperkemaskan supaya tiada peraturan yang bercanggah Majlis Raja-Raja.

“Kalau ditanya saya mengenai keputusan mahkamah, itu bukan bidang saya, tetapi saya bukan dari sudut kerajaan dan jemaah menteri tetap dengan keputusan Majlis Raja-Raja,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/5/2023

- Advertisement -