Kembalikan Tanah Rizab Melayu kepada orang Melayu

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri (DPPN) Perak mendesak Kerajaan Campuran PH-BN Negeri Perak agar mengembalikan semula pegangan 3,417 hektar Tanah Rizab Melayu kepada orang Melayu susulan pendedahan Laporan Audit Negara 2019 Siri 2 Negeri Perak yang menyatakan bahawa tanah-tanah tersebut telah bertukar tangan kepada pemilikan orang bukan-Melayu.

Dalam masa yang sama, DPPN Perak juga mendesak YAB Menteri Besar Perak menggunakan kuasa tanpa prejudis untuk mendapatkan semula hak orang Melayu yang telah hilang ini serta mencari siapakah individu yang bertanggungjawab terhadap semua perkara ini.

Satu jawatankuasa khas wajar dibentuk bagi menyiasat bagaimana 3,417 hektar Tanah Rizab Melayu ini boleh ditukar milik kepada orang bukan-Melayu. Adakah wujud unsur salah guna kuasa, rasuah, kecuaian atau ada pemimpin terdahulu yang menjadi broker melicinkan pertukaran hak milik tanah orang Melayu kepada bukan-Melayu? Jika ada tindakan tegas sewajarnya diambil agar hak orang Melayu akan dapat dikembalikan serta peristiwa seumpama ini tidak berlaku lagi.

DPPN Perak juga menyeru kepada YAB Menteri Besar Perak agar tegas dalam menggerakkan segala usaha bagi mengembalikan Tanah Rizab Melayu yang hilang tanpa takut kepada mana-mana tekanan khususnya dari rakan yang sama-sama membentuk Kerajaan Perak pada hari ini.

“Pemuda Generasi Sejahtera”
“Rijal Al-Daulah”

USTAZ MOHAMMAD OMAR ADAM
Naib Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak
Bertarikh 21 Mei 2023 | 1 Zulkaedah 1444 Hijrah – HARAKAHDAILY 21/5/2023

- Advertisement -
- Advertisement -