KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah kos yang dibelanjakan oleh Kerajaan bagi lawatan ke negara luar dari Januari hingga Mac lalu.
Beliau juga meminta Perdana Menetri menyatakan hasil pelaburan yang sebenar daripada lawatan tersebut.
Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS mengemukakan soalan itu pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Soalan daripada ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL yang disenaraikan pada hari ini sebagaimana di bawah.
Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin [Larut] minta Perdana Menteri menyatakan dasar-dasar baharu dan drastik yang telah dilaksanakan semenjak memimpin Malaysia bagi melonjakkan ekonomi negara, dengan mengambil kira risiko pengucupan ekonomi dunia.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan [Kota Bharu] minta Perdana Menteri menyatakan adakah Kerajaan bercadang untuk menggubal Akta Pembelaan Awam bagi menyediakan perkhidmatan bantuan guaman membabitkan kes jenayah di negara ini agar rakyat yang kurang berkemampuan turut mendapat akses kepada keadilan dan pembelaan sewajarnya.
Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz [Tanah Merah] minta Menteri Pertahanan menyatakan kesiagaan aset Sukhoi 30-MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) khususnya melibatkan alat ganti pesawat berkenaan memandangkan berlakunya sekatan ekonomi oleh negara Barat terhadap Rusia yang juga merupakan pengeluar asal pesawat berkenaan.
Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Haji Salleh [Pasir Puteh] minta Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi menyatakan:-
(a) prestasi semasa Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) dalam merealisasikan hasrat murni menjadikan Malaysia sebagai negara keusahawanan unggul menjelang tahun 2030; dan
(b) adakah pihak Kementerian masih meneruskan inisiatif yang diperkenalkan melalui DKN 2030 dan apakah bidang industri utama yang sedang menjadi fokus dalam tahun 2023-2025 .
Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail [Kubang Pasu] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan apakah langkah dan strategi Kementerian untuk menangani isu bilangan kemasukan pelajar ke IPTA (universiti awam dan politeknik khususnya) yang rendah dan ‘trend’ menurun akhir-akhir ini sehingga ada yang mencapai hanya 60% dari ‘capacity’.
Tuan Zulkifli bin Ismail [Jasin] minta Perdana Menteri menyatakan apakah pendirian Kerajaan Madani terhadap cadangan yang pernah dilontarkan dan diusahakan oleh Kerajaan sebelum ini berkaitan Penubuhan Suruhanjaya Patuh Syariah yang bukan sahaja memberi fokus kepada isu-isu Halal industri makanan tetapi juga terhadap isu muamalah, kewangan dan sebagainya.
Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee [Beluran] minta Perdana Menteri menyatakan adakah Kementerian mempunyai rancangan untuk memperkasa peranan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dalam konteks perpaduan dan sejauh mana perancangan untuk menyerap pegawai-pegawai kontrak J-KOM ke lantikan tetap sebagai langkah pemerkasaan J-KOM.
Tuan Mohd Syahir bin Che Sulaiman [Bachok] minta Menteri Ekonomi menyatakan adakah Kerajaan bercadang mengkaji semula Paras Garis Kemiskinan dan paras pendapatan miskin tegar memandangkan paras harga dan inflasi yang tinggi akhir-akhir ini berbanding tahun 2018 dan 2019.
Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Mohd. Yassin [Pagoh] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan langkah-langkah Kerajaan untuk mengatasi kenaikan harga barang dan kos sara hidup melampau sehingga membebankan rakyat berpendapatan rendah dan menengah dalam keadaan inflasi yang dikatakan kekal stabil.
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari [Pasir Mas] minta Menteri Pertahanan menyatakan usaha Kementerian dalam merombak Proses Perolehan Pertahanan untuk mengelak daripada wujudnya unsur ketirisan, rasuah dan salah guna kuasa yang kerap berlaku dalam perolehan dan penyelenggaraan aset pertahanan.
Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man [Kubang Kerian] minta Perdana Menteri menyatakan :-
(a) jumlah kos yang dibelanjakan oleh Kerajaan bagi lawatan Perdana Menteri ke negara luar dari Januari hingga Mac 2023; dan
(b) nyatakan hasil pelaburan yang sebenar dari lawatan tersebut.
Tuan Wan Razali bin Wan Nor [Kuantan] minta Perdana Menteri menyatakan adakah pihak Kerajaan bercadang untuk menyemak semula tempoh untuk dilantik perjawatan tetap bagi kakitangan kontrak daripada tempoh antara 10- 15 tahun kepada tempoh yang lebih singkat.
Tuan Nurul Amin bin Hamid [Padang Terap] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan apakah usaha Kerajaan untuk mengatasi isu capaian rangkaian internet dan telekomunikasi di sesetengah kawasan pendalaman yang semakin teruk, sedangkan caj yang dikenakan pembekal perkhidmatan amat tinggi namun tidak setimpal dengan mutu perkhidmatan yang diberikan.
Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff [Rantau Panjang] minta Perdana Menteri menyatakan jumlah terkini penerima bantuan di dalam pengkalan Data e-Kasih.
Dr. Hajah Halimah Ali [Kapar] minta Menteri Ekonomi menyatakan apakah faktor-faktor kegagalan Malaysia sehingga tidak berjaya seiring dengan Korea Selatan dan Singapura yang telah berjaya menjadi ‘high income nation’ dengan mentransformasi ekonomi kepada perkhidmatan dan ‘knowledge economy’ walaupun bermula pada tahap yang sama pada tahun 1960-an.
Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Haji Salleh [Pasir Puteh] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan :-
(a) adakah Kementerian menjalin kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dalam memantau kebajikan mahasiswa khususnya di negeri Perlis, Sabah dan Kelantan yang dikatakan masih tidak mempunyai elaun kerja setimpal semasa menjalankan latihan industri; dan
(b) adakah Kementerian ada perancangan untuk mencadangkan agar diperkenal rang undang-undang khas dalam melindungi mahasiswa daripada menjadi buruh percuma sedangkan mereka menjalani latihan industri bagi memenuhi keperluan bergraduat.
Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Mohd. Yassin [Pagoh] minta Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri menyatakan butiran komitmen pelaburan dari China bernilai RM170 bilion yang telah pun diumumkan oleh YAB Perdana Menteri melibatkan 19 Perjanjian Persefahaman (MoU) pada awal bulan April 2023.
Kapten Dato’ Dr. Zulkafperi bin Hanapi (Bersara) [Tanjong Karang] minta Perdana Menteri menyatakan jumlah keseluruhan pegawai khidmat lantikan kontrak bagi setiap pejabat Menteri dan Timbalan Menteri serta kos semasa yang sedang ditanggung oleh Kerajaan buat masa ini, selari dengan langkah penjimatan dan pengurangan pembaziran wang oleh Kerajaan semasa perkara ini harus lebih dilihat “transparent” dengan izin.
Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan [Tasek Gelugor] minta Perdana Menteri menyatakan adakah Kerajaan Persekutuan bersetuju Kerajaan Negeri boleh mempunyai undang-undang yang bercanggah dengan Kerajaan Persekutuan, contohnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menggunakan undang-undang yang amat berbeza dengan Persekutuan dalam hal lompat parti.
Datuk Muslimin bin Yahaya [Sungai Besar] minta Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi menyatakan daripada lebih 37,000 usahawan yang gulung tikar kesan daripada pandemic COVID-19 yang berpanjangan, berapa ramai usahawan yang telah berjaya dibantu dan berapa ramai yang berjaya bangkit semula memulakan perniagaan dengan berjaya serta apa sokongan Kementerian untuk memastikan usahawan usahawan mendapat motivasi secukupnya.
Dato’ Ahmad bin Saad @ Yahaya [Pokok Sena] minta Perdana Menteri menyatakan langkah strategik berdasarkan pendekatan whole of government bagi membendung sebarang usaha menormalisasi budaya songsang LGBT dalam negara pada hari ini.
Datuk Haji Awang bin Hashim [Pendang] minta Perdana Menteri menyatakan perincian kos penganjuran Jelajah Rumah Terbuka Malaysia MADANI termasuk aspek logistik serta penglibatan Kementerian dan jentera Kerajaan di 6 buah negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu antara 29 April hingga 14 Mei 2023.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin [Tangga Batu] minta Perdana Menteri menyatakan apakah proses-proses dan tindakan yang diambil dan dijalankan oleh SKMM dan PDRM sebaik laporan dibuat mangsa scammer, masa bertindak dan pemakluman tindakan.
Tuan Che Alias bin Hamid [Kemaman] minta Perdana Menteri menyatakan langkah-langkah konkrit dilakukan Kerajaan dalam meringankan beban peneroka FELDA tentang isu hutang FELDA berikutan Kerajaan tidak meneruskan lagi inisiatif pelupusan hutang RM8 bilion peneroka FELDA.
Dr. Abd Ghani bin Ahmad [Jerlun] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan sebab utama slot takbir raya Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional dibatalkan di saat-saat akhir oleh TV3.
Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin [Larut] minta Perdana Menteri menyatakan apakah bentuk transformasi politik Malaysia Madani agar tindak- tanduk Kerajaan tidak dilihat berasakan permusuhan dengan pembangkang, menyisih pengkritik serta bukannya melaksanakan dasar yang bersifat politik partisan.
Tuan Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan [Permatang Pauh] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan jumlah hutang PTPTN yang diambil oleh mahasiswa di universiti/kolej universiti dan kolej swasta di seluruh Malaysia serta berikan perincian mengikut universiti/kolej universiti dan kolej dari 2015-2023.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin [Tangga Batu] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan apakah tindakan-tindakan yang telah diambil dan akan diambil untuk menyebar luas kesedaran online scamming supaya rakyat tidak tertipu dan apakah ianya berkesan.
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran] minta Perdana Menteri menyatakan pelan Kerajaan dalam menangani isu perumahan Generasi Baharu FELDA yang terbengkalai dan jangka masa untuk menyelesaikannya.
Dr. Radzi Jidin [Putrajaya] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan :-
(a) berapa kalikah Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) telah bermesyuarat selepas Kerajaan campuran PH-BN ditubuhkan dan apakah keputusan berimpak tinggi yang telah dibuat oleh NACCOL seperti yang telah dijanjikan; dan
(b) apakah perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang Kerajaan untuk menangani bebanan kos sara hidup yang tinggi.
Dato’ Rosol bin Wahid [Hulu Terengganu] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan apakah langkah Kementerian untuk memperkasakan dan memperhebat lagi sektor barangan buatan atau keluaran tempatan dan apakah perkembangan terkini terhadap cadangan mengadakan Karnival Jualan Barangan Tempatan Berskala Mega.
Datuk Haji Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim [Kuala Terengganu] minta Menteri Ekonomi menyatakan status kemajuan kajian kaedah pengukuran baharu bagi menggantikan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang mengukur kemiskinan mutlak dan bilakah anggaran kebolehlaksanaan kaedah baharu tersebut di peringkat lapangan.
Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz [Tanah Merah] minta Menteri Pertahanan menyatakan apakah bentuk penyelarasan baharu melibatkan kerjasama koheren bersepadu antara semua agensi keselamatan di Malaysia dalam usaha menjaga sempadan darat dan maritim negara daripada pencerobohan pihak luar selepas Kerajaan menamatkan struktur National Task Force (NTF) di bawah Kementerian Pertahanan pada Disember 2022 yang lalu.
Dr. Siti Mastura binti Muhammad [Kepala Batas] minta Perdana Menteri menyatakan :-
(a) berapa jumlah pencarum Tabung Haji di Kepala Batas dan Pulau Pinang; dan
(b) langkah-langkah untuk meningkatkan jumlah pencarum di Pulau Pinang; dan kuota menunaikan Haji bagi setiap negeri secara terperinci.
Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary [Pengkalan Chepa] minta Perdana Menteri menyatakan tahap kemajuan yang telah dilaksanakan bagi projek-projek kecil di bawah Jabatan Perdana Menteri berjumlah RM222,000,000 dan apakah bentuk program yang dilaksanakan dan mekanisme pemberian peruntukan tersebut bagi memastikan ia memberi manfaat kepada rakyat.
Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan [Merbok] minta Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri menyatakan apakah pendirian rasmi Kerajaan Malaysia berkenaan hubungan perdagangan antarabangsa Malaysia dengan Israel serta beberapa syarikat antarabangsa yang beroperasi di Malaysia tetapi terlibat dalam amalan rangkaian bekalan antarabangsa (global supply chain) dengan Israel.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan [Kota Bharu] minta Perdana Menteri menyatakan apakah langkah yang diambil oleh Kerajaan bagi menambah baik mekanisme semak dan imbang terhadap SPRM dalam melaksanakan fungsi dan peranannya secara bebas dan adil tanpa tekanan badan eksekutif.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal [Machang] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan sama ada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bercadang untuk mengkaji semula jumlah elaun sara yang diterima oleh peminjam memandangkan jumlahnya masih sama sejak hampir 10 tahun yang lalu dan memandangkan kadar kos sara hidup yang meningkat.
Tuan Roslan bin Hashim [Kulim Bandar Baharu] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan apa status portal Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang dibangunkan pada tahun 2019, yang bertujuan menjadi pusat sehenti untuk memudahkan komuniti awam, akademik dan industri membuat rujukan mengenai pelaksanaan dan program-program berkaitan.
Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan [Merbok] minta Perdana Menteri menyatakan perincian senarai jumlah lawatan kerja ke luar negara oleh Ahli-ahli Kabinet Kerajaan dari Januari 2023 hingga April 2023, berapa jumlah perbelanjaan lawatan, negara-negara yang dilawati mengikut portfolio masing-masing.
Dato’ Khlir bin Mohd Nor [Ketereh] minta Menteri Pertahanan menyatakan apakah status terkini kenaikan kadar elaun hilang upaya bagi Veteran Angkatan Tentera yang cedera semasa bertempur dengan pengganas komunis semasa darurat.
Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun [Hulu Selangor] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan jumlah IPTS yang telah ditutup sejak tahun 2020 sehingga 2023 dan bagaimanakah status pelajar yang belajar di IPTS tersebut.
Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor [Temerloh] minta Perdana Menteri menyatakan :-
(a) fungsi dan peranan penyelaras di DUN dan Parlimen bagi negeri pembangkang; dan
(b) adakah peruntukan wakil rakyat disalurkan kepada penyelaras DUN dan Parlimen khususnya di kawasan pembangkang.
Tuan Wan Razali bin Wan Nor [Kuantan] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan kadar kebolehpasaran graduan (graduate employability) kolej dan institut pengajian tinggi awam dan swasta dalam negara bagi tempoh 2018- 2022.
Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden [Alor Setar] minta Perdana Menteri menyatakan berapa kos perbelanjaan program Himpunan Madani Kedah yang berlangsung pada 28 April 2023 dan nyatakan perbelanjaan bagi penyanyi jemputan, wang tunai peserta konvoi motosikal serta kos lain yang berkaitan.
Datuk Iskandar Dzulkarnain bin Abdul Khalid [Kuala Kangsar] minta Perdana Menteri menyatakan pertimbangan Kerajaan terhadap cadangan tempoh perkhidmatan pekerja kontrak perkhidmatan awam ke lantikan tetap dikurangkan dari 15 kepada 10 tahun seperti yang diusulkan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan sejauh manakah Kerajaan menilai keperluan untuk mengkaji semula dasar pengambilan pekerja kontrak perkhidmatan awam ini.
Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin [Tangga Batu] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan apakah ada langkah bersama diambil oleh Kementerian Komunikasi dan Digital, Kementerian Kewangan dan Kementerian Dalam Negeri untuk mencegah dan menghapus kegiatan scammer di negara ini.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki [Parit Buntar] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan adakah Kerajaan berhasrat menyambung semula program MyBrain bagi membolehkan graduan kita menyambung pengajian peringkat sarjana dan PhD.
Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki [Parit Buntar] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan status terkini mesyuarat antara lima buah Kementerian berhubung laporan mengenai isu ketirisan subsidi diesel yang dilaporkan menjangkau hampir RM10 bilion dan adakah Kerajaan bercadang untuk membentangkan laporan tersebut dalam tempoh terdekat.
Kapten Azahari bin Hasan [Padang Rengas] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan status pencapaian internet berkelajuan tinggi di Kawasan Padang Rengas. Memandangkan kawasan Parlimen Padang Rengas tidak mendapat capaian internet yang maksimum.
Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden [Alor Setar] minta Perdana Menteri menyatakan berapa kos keseluruhan perbelanjaan bagi penggunaan jet peribadi untuk Perdana Menteri Malaysia ke-10 sejak bulan Disember 2022 hingga April 2023 dan nyatakan destinasi serta tujuan kegunaan.
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari [Pasir Mas] minta Perdana Menteri menyatakan jumlah perbelanjaan keseluruhan daripada penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di enam buah negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Tuan Mohd Syahir bin Che Sulaiman [Bachok] minta Menteri Ekonomi menyatakan :-
(a) perincian peserta Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) mengikut kategori dan peringkat umur serta berapa peruntukan yang telah diguna pakai dari Februari 2023 sehingga kini ; dan
(b) apakah bantuan dan sokongan Kementerian terhadap negeri-negeri yang mencatatkan penyertaan peserta IPR yang rendah termasuk sebarang perancangan alternatif untuk membantu golongan sasaran yang terkesan.
Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman [Kuala Krai] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan apakah tindakan holistik Kementerian untuk mengurangkan kenaikan harga barang mentah yang meningkat dan berapa lama Menu Rahmah dapat bertahan dengan kenaikan kos bahan mentah yang semakin meningkat ini.
Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail [Kubang Pasu] minta Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri menyatakan berapa jumlah pelaburan yang direalisasikan bagi sektor industri pembuatan dan perkhidmatan bagi tempoh suku tahun pertama 2023 serta nyatakan perbandingan dengan tempoh yang sama bagi tahun 2022.
Dato’ Khlir bin Mohd Nor [Ketereh] minta Menteri Pertahanan menyatakan berapa jumlah anggota Veteran Angkatan Tentera yang tidak berpencen dan berapa bilangan anggota yang masih belum menerima bantuan sara hidup terutama bagi anggota yang bertugas semasa darurat.
Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli [Dungun] minta Perdana Menteri menyatakan jumlah aset-aset Tabung Haji yang telah dijual dan berapakah jumlah pendapatan oleh Tabung Haji daripada aset-aset yang masih dimiliki Tabung Haji.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal [Machang] minta Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri menyatakan secara terperinci tentang bagaimana pihak Kerajaan Persekutuan akan menguruskan keseluruhan RM170 bilion jumlah pelaburan yang diperoleh daripada pelabur China seperti yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada awal April 2023 lalu.
Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi [Tumpat] minta Perdana Menteri menyatakan adakah Kerajaan akan mengkaji dan menggunakan semula nama asal Laut Melayu di perairan kita memandangkan ia adalah nama asalnya mengikut sejarah.
Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh [Besut] minta Perdana Menteri menyatakan adakah benar bahawa kabinet telah bersetuju untuk menubuhkan RCI bagi meneliti dakwaan buku Tommy Thomas bertajuk “My Story: Justice in The Wilderness” dan jika benar, apakah status penubuhan tersebut.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kasim [Arau] minta PERDANA MENTERI menyatakan :-
(a) usaha Kementerian dalam menangani isu muflis dalam kalangan belia; dan
(b) pelan jangka pendek, sederhana dan panjang Kementerian ke arah meningkatkan literasi kewangan terutama golongan belia.
Dr. Siti Mastura binti Muhammad [ Kepala Batas ] minta Perdana Menteri menyatakan :-
(a) status dan jumlah pembeli perumahan penjawat awam Malaysia (PPAM) Permatang Sintok; dan
(b) apakah tindakan pihak kerajaan terhadap pemaju dan kesan pembeli rumah atas kelewatan pembinaan perumahan penjawat awam Malaysia ini.
Tuan Hassan bin Saad [Baling] minta Perdana Menteri menyatakan hasrat Kementerian untuk menaik taraf sekolah tahfiz dan pondok terutamanya di daerah Baling.
Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli [Dungun] minta Perdana Menteri menyatakan berapa kos lawatan Perdana Menteri keluar negara dan jumlah pelaburan-pelaburan yang telah berjaya dibawa masuk dari setiap negara yang dilawati.
Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden [Alor Setar] minta Perdana Menteri menyatakan apakah Kerajaan bersedia bekerjasama dengan Kementerian dan agensi berkaitan untuk mengaplikasikan konsep wakaf di dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan, pendidikan, pertanian, perladangan dan perdagangan.
Tuan Rushdan bin Rusmi [Padang Besar] minta Menteri Ekonomi menyatakan sejauh mana tahap kemajuan projek yang dipantau oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) terutamanya bagi projek Sanglang Integrated Jetty (SIJ).
Dr. Radzi Jidin [Putrajaya] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan :-
(a) potensi kenaikan kadar inflasi di Malaysia akibat daripada pengapungan harga ayam dan telur pada Julai 2023; dan
(b) tindakan yang akan diambil Kerajaan sekiranya pengapungan membawa kepada kenaikan mendadak harga ayam dan telur .
Tuan Mohd Syahir bin Che Sulaiman [Bachok] minta Perdana Menteri menyatakan langkah-langkah penjimatan yang telah diambil Kerajaan khususnya dalam penganjuran majlis besar-besaran seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri bagi mengelakkan pembaziran perbelanjaan Kerajaan.
Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin [Jerantut] minta Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri menyatakan apakah tindakan Kementerian untuk memberikan insentif kepada mana-mana syarikat yang ingin melabur ke dalam bidang stesen pengecas kenderaan elektrik (EV Charging Station) agar Malaysia mampu mencapai Negara Bebas Karbon 2030.
Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen Kelima Belas (2023) bermula hari ini sehingga 15 Jun. – HARAKAHDAILY 22/5/2023